
Setuju tidak, bahawa merawat dan mendidik anak itu perlu bergunung-gunung kesabaran? Dari pagi sampai malam kita harus menghadapi tingkah laku anak yang tak ada penamatnya. Tidak mahu turun dari dukungan, bertengkar dengan adiknya, terkadang terlepas buang air di luar tandas ketika sedang fasa toilet training, mudah menangis, tidak mahu makan, tak berhenti merengek minta keropok, dan tentu masih banyak lagi yang lainnya. Sedangkan kita pun sudah lelah dengan pekerjaan rumah yang tak kunjung selesai.
Ketika itu mungkin emosi kita sudah memuncak hingga ubun-ubun, kepala terasa mahu pecah, dada terasa sesak. Saat itu yang kita perlukan adalah kejernihan fikiran sehingga bukan amarah yang menguasai kita.
Disaat seperti itulah mestinya kita mahu merenungkan sebuah hadis yang diberitakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dari Shuhaib radhiallahu’anhu,
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik untuknya. Dan hal itu tidak ada kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan maka dia pun bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan untuknya. Apabila dia tertimpa kesulitan maka dia pun bersabar, maka hal itu juga sebuah kebaikan untuknya.”
(HR. Muslim [2999] lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim[9/241])
Anak adalah ujian bagi orang tuanya. Jika kita mampu bersabar dalam mendidik mereka tentu akan ada balasan pahala dari Allah, dan kelak kita akan menuai buah dari kesabaran yang manis bagaikan madu. Iaitu ketika mereka telah dewasa, kala mereka telah terbiasa dan terdidik dengan kebaikan yang kita ajarkan dan mereka menjadi manusia yang taat pada Rabbnya. Doa-doa yang selalu mereka panjatkan untuk kita adalah harta dan pelaburan yang tidak ternilai harganya. Lalu seperti apa saja aplikasi kesabaran dalam mendidik anak?
Berikut beberapa contohnya aplikasi kesabaran dalam mendidik anak,
- 1. Sabar dalam mengajarkan kebaikan pada anak
Salah satu bahagian dari kesabaran yang dijelaskan para ulama adalah kesabaran dalam melakukan ketaatan pada Allah. Sabar dalam mengajarkan kebaikan pada anak pun termasuk dalam kategori ini. Mengajarkan kebaikan memerlukan kesabaran seorang ibu. Mengajarkan doa-doa harian, adab dan akhlak yang baik, menghafal qur’an, dan lain sebagainya.
2. Sabar menjawab pertanyaan anak
Dalam masa tumbuh kembangnya, anak akan mengalami fasa dimana ia akan selalu bertanya tentang hal-hal di sekelilingnya mulai dari hal yang besar sampai hal-hal yang remeh. Jangan keluhkan hal ini, wahai Ibu! Bersabarlah menjawab setiap pertanyaan anak kita kerana dengan anak bertanya pada kita sesungguhnya dia menaruh kepercayaan pada kita sebagai orang tuanya. Jika kita mengendahkan atau marah-marah dengan pertanyaan yang anak lontarkan maka anak mungkin akan menghalang bertanya lagi dan dia tidak akan menaruh kepercayaan lagi pada kita sehingga akan bertanya pada orang lain. Lalu apa jadinya jika dia bertanya pada orang yang tidak tepat sehingga mendapat jawapan yang berbahaya bagi agamanya?
3. Sabar menjadi pendengar dan teman yang baik
Termasuk sifat sabar dalam mendidik anak adalah menjadi pendengar yang baik. Jangan pernah menganggap remeh luahan anak kita, dengarkan dan komentari dengan bijak serta selitkan dengan nasihat.
4. Sabar ketika emosi memuncak
Menghadapi kelakuan anak yang terkadang nakal memang menjengkelkan. Saat inilah diperlukan kesabaran. Jika amarah itu datang cubalah sementara untuk menjauh dari anak hingga emosi kita mereda. Setelah reda, baru dekati anak lagi dan cubalah menasihatinya. Menasihati anak sambil marah-marah tidak akan ada gunanya dan tidak memberikan kesedaran bagi anak.
5. Sabar jika ikhtiar kita dalam mendidik anak belum menunjukkan hasil yang maksimal
Bersabarlah jika belum ada hasil yang maksimal dalam mendidik anak kita. Selalulah ingat bahawa Allah akan selalu melihat proses bukan hasil. Setiap ikhtiar kita mendidik anak akan Allah balas meskipun itu hal yang kecil. Selalulah mendoakan anak kita agar mereka menjadi anak yang soleh-solehah.
Penuh Onak dan Duri
Mendidik anak itu tidak mudah, akan ada onak dan duri. Memupuk kesabaran juga bukan perkara mudah. Bukankah kita tahu bersama bahawa jalan menuju syurganya Allah penuh dengan hal-hal yang tidak kita sukai apalagi wanita memang memiliki sifat suka berkeluh kesah. Jadi bersemangatlah berusaha menjadi ibu yang sabar, semoga tips ini dapat membantu:
1. Berlatihlah untuk sabar, dan ini harus bertahap tidaklah mungkin akan langsung boleh.
2. Berdoa pada Allah agar menyuburkan sifat sabar dalam jiwa kita.
3. Membaca tentang keutamaan sifat sabar dan juga kisah Nabi dan sahabat serta orang-orang soleh ketika mendidik anak-anak mereka.
4. Sabar itu boleh naik dan turun, maka rajinlah mengecas kesabaran kita dengan banyak membaca, menghadiri majlis ilmu, serta berkawan dengan teman yang solehah agar boleh menasihati kita untuk bersabar.
5. Saling mengingatkan dengan partner kita dalam mendidik anak, yaitu suami kita.
Bukalah mata kita, banyak orang tua yang belum dikurniakan anak atau dikurniakan anak namun memiliki ‘keterbatasan’ yang menjadikan anak sukar dididik. Ingatlah hal itu sehingga dengan itu kita akan banyak bersyukur dan berusaha keras memupuk kesabaran dalam mendidik anak-anak kita. Selalulah ingat bahawa anak adalah pelaburan kita di akhirat kelak. Ibarat bercucuk tanam, tanamlah benih unggul dan sabarlah merawatnya, maka kelak kita akan menyemai buah yang ranum.
Wallahu a’lam.
Penulis: Nugrahaeni Ummu Nafisah
Penterjemah: Asiera Ummu Muadz
Referensi:
Sumber: https://muslimah.or.id/6640-buah-manis-kesabaran-dalam-mendidik-anak.html
Copyright ©️ 2024 muslimah.or.id
0 Comments