Anakku sayang,
Andai satu hari engkau dapati dirimu disakiti atau disalah anggap manusia janganlah terlalu kecewa dengan keadaan itu kerana bukanlah pengharapan manusia yang kita patut harapkan melainkan hanya keredaan Tuhanmu.
Hakikatnya, keredaan manusia tidak akan mampu kita dapatkan seratus peratus. Hakikatnya, telah tertulis beberapa kali di dalam al-Quran yang menjelaskan kebanyakan manusia tidak bersyukur kepada-Nya. Rujuklah ayat 13 surah Saba’ dan ayat 10 surah al-A’raf di dalam kalam Allah. Jika terhadap Allah yang Maha Kuasa yang menciptakan diri mereka sendiri itu pun mereka sukar untuk berterima kasih, apatah lagi kepada sesama manusia.
Maka, segeralah berterima kasih kepada Tuhanmu iaitu Allah kerana menyedarkanmu tentang hakikat dunia ini. Lalu, kita tidak kecewa semasa berharap kepada manusia. Ingatlah!
Allah yang menjadikan hati setiap makhluk dan setiap apa yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Segeralah berlumba untuk mendapat keredaan-Nya dengan mendidik hati agar suka melakukan apa yang Allah suka.”
Yang benar,
Ibumu yang telah tiada tapi tetap menyayangimu seikhlas hati
Begitulah isi surat ibu yang telah pergi meninggalkan dunia ini asbab penyakit autoimun dua tahun lalu. Penyakit autoimun adalah satu keadaan di mana badan manusia itu menghasilkan antibodi sendiri (sistem imun) yang menyerang sel-sel badan atau organ manusia itu sendiri walaupun pada asasnya sistem imun sepatutnya menyerang penyakit seperti bakteria, fungus dan virus dari luar. Walaubagaimanapun, penyakit autoimun menyebabkan sistem imunisasi tidak dapat membezakan sel atau tisu badan sendiri dan menganggapnya sebagai sel atau tisu asing.
Walaupun ibu telah pergi meninggalkan kami tiga beradik, pesanan ibu melalui surat akan sentiasa menemani kami untuk menghadapi pelbagai cabaran hidup pada masa akan datang. Alhamdulillah! Pada usia 14 tahun, aku dapat mengharungi kesunyian dan masalah yang mendatang dengan adanya surat pesanan ibu tentang rahmat dan kasih sayang Allah.
Cuti sekolah yang akan datang ini aku merancang untuk membawa adik-adikku lebih dekat kepada Tuhan. Misi itu dapat aku laksanakan dengan sentiasa membawa mereka ke masjid setiap kali azan berkumandang. Kedudukan masjid yang sangat dekat memudahkan kami untuk berjalan kaki ke sana.
Aku juga bercadang untuk menghadiri kelas tadabbur yang diadakan setiap hari di masjid selepas solat Subuh.
“Al-Quran itu perlu difahami untuk mendapat kesan di dalam hati. Isi-isi al-Quran itu umpama Waze atau penunjuk jalan ke destinasi syurga. Jika tidak difahami kita boleh tersesat,” pesan ibu.
Aku masih ingat ketika usiaku 10 tahun, sebelum ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir, ibu sempat mengajarku tentang isi ayat surah al-Mulk secara santai di ruang tamu.
Ibu membaca beberapa ayat pertama dengan tartil, kemudian berhenti pada ayat kedua.
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ
“Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya.”
Aku dan adik-adikku tekun mendengar. Ibu menjelaskan maksud ayat itu dengan bahasa yang mudah difahami.
“Allah beri kita hidup dan nafas untuk diuji. Apa saja yang kita lakukan, semuanya akan dinilai oleh Allah. Jadi, kita kena buat yang terbaik dalam hidup ini. Setiap hari pasti akan ada ujian yang melanda sampai nafas kita yang terakhir.”
Aku bertanya “Ibu, kalau kita bantu orang susah, itu termasuk amal yang baik, kan?”
Ibu tersenyum dan menjawab “Ya, sayang. Amal yang kecil pun, kalau kita ikhlas, Allah akan balas dengan ganjaran yang besar. Kaya dan miskin kedua-duanya adalah ujian. Sekiranya kita kaya, kita perlu bantu yang susah. Sekiranya kita miskin, kita perlu sentiasa berusaha dan tidak mengeluh. Kita perlu ingat Allah setiap waktu. ”
Pesanan ibu sangat bermakna dalam kehidupanku. Ibu adalah orang yang paling ikhlas menyayangi anaknya. Ibu telah menghadapi kesukaran dan kesakitan semasa mengandung dan melahirkan. Namun ibu berpesan bahawa Allah lebih menyayangi hamba-Nya. Tiada sesiapa pun mampu memberikan mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar kecuali Allah. Maka kita sangat perlu berazam untuk mendapatkan reda Allah.
Aku teringat satu keadaan ketika adikku Sarah menangis kerana ditipu seorang kawan. Aku berikan surat ibu yang menceritakan kisah Rasulullah. Rasulullah juga pernah ditipu oleh seseorang yang meminta Rasulullah menghantar 70 orang penghafaz al-Quran untuk berdakwah dan mengajar penduduk kampung. Walaubagaimanapun, 70 orang penghafaz al-Quran itu telah dibunuh. Baginda sangat sedih dengan kekejaman dan pengkhianatan kaum Musyrikin Qabilah Huzail. Namun, apa yang berlaku adalah dengan izin Allah, maka kepada Allah jua kita mengadu kesedihan dan memohon segala keinginan.
Ketika waktu cuti sekolah tiba, aku membawa adikku Sarah yang berusia enam tahun untuk menghadiri kelas intensif membaca di perpustakaan kecil masjid. Kelas ini diadakan untuk anak-anak yang ingin belajar membaca dengan pantas.
Di akhir kelas itu, mereka membincangkan sirah perjuangan sahabat Rasulullah, Bilal bin Rabah. Sarah teruja mendengar ustazah bercerita tentang ketabahan Bilal dalam mempertahankan keimanan.
“Anak-anak,” kata Ustazah sambil memandangku dan Sarah, “Bilal kuat kerana dia yakin Allah sentiasa bersamanya. Kita pun kena kuat dalam hidup ini. Jangan mudah menyerah walaupun diuji.”
Malam itu, selepas selesai makan malam aku bertanya kepada adikku.
“Sarah, apa yang kamu pelajari daripada kisah Bilal hari ini?”
Sarah termenung sejenak sebelum menjawab, “Kita mesti kuat kalau kita tahu apa yang kita buat itu betul. Kita tak boleh takut sebab Allah ada bersama kita.”
Alhamdulillah! Adikku Sarah memahami pesanan penting dalam kisah Bilal. Aku bersyukur kerana mengikut pesanan ibu untuk selalu ke majlis ilmu. Majlis ilmu yang diadakan di masjid bukan sahaja mengajar banyak perkara tentang ilmu dunia, tetapi juga dipenuhi dengan nilai-nilai rohani.
Hari-hari cuti sekolah seterusnya diisi dengan aktiviti yang sama tetapi pengisian yang berbeza. Setiap pagi dimulakan dengan solat Subuh dan tadabur al-Quran di masjid, diikuti dengan sesi petangnya solat Asar dan kelas membaca diisi dengan sirah Rasulullah.
Ilmu keduniaan penting untuk kita terus kekal hidup. Namun, ilmu akhirat lebih penting untuk kita berjaya ke destinasi syurga, dengan izin Allah.
Begitulah pesanan ibu, insya-Allah akan aku ingati selalu. Justeru, aku selalu menggunakan masa sebaiknya untuk mengejar ilmu pengetahuan dunia dan akhirat demi mendapat reda Allah.
Inilah cuti sekolah yang kelihatan biasa tetapi penuh makna kerana dipenuhi dengan aktiviti mengejar ilmu pengetahuan.
Penulis: Nur Hakimah Maziah
Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)
Terima kasih atas kisah yang bermanfaat🥰