
“Ting ting ting!”
Bertalu-talu nada dering telefon pintarku berbunyi, menandakan mesej baru masuk. Segera kucapai telefon pintar di atas meja bersebelahan denganku. Rupa-rupanya gambar-gambar anak tabika sempena Sambutan Hari Kanak-kanak di sekolah pagi tadi.
Jariku laju menatal skrin telefon, menatap satu per satu gambar yang dikirimkan oleh Cikgu Siti, guru kelas tabika puteri ketigaku. Terukir senyuman di wajahku memerhatikan gelagat anak-anak yang tulus ini. Mereka berusia antara empat hingga enam tahun, memperagakan pakaian yang mencerminkan cita-cita mereka suatu hari nanti.
Puteri ketigaku yang sedang asyik mewarna buku aktivitinya di sebelahku tiba-tiba menyanyikan lagu kegemarannya bertajuk Satu Mimpi yang telah dipopularkan oleh kumpulan adik-beradik dari negara seberang.
Ku punya satu mimpi,
Ku tanamkan di hati,
Yang suatu hari nanti,
Pasti kan terbukti,
Ku gantungkan cita-citaku setinggi angkasa,
Di bawah bintang bercahaya.
Aku megusap lembut kepala puteriku. Minat sungguh dia terhadap lagu ini. Cocok pula dengan program yang diadakan di tabikanya pagi tadi.
Masya-Allah! Cantik-cantik dan segak-segak semuanya. Ada yang memakai apron dan topi memasak laksana seorang chef. Ada pula yang memakai kot putih lengkap dengan stetoskop di leher umpama seorang doktor perubatan. Ada yang memakai baju kurung beserta tanda nama sambil berjalan memegang buku di sisi seolah-olah seorang guru berwibawa. Semua berjalan penuh gaya dan cita. Aku yakin, ibu bapa turut bersemangat meraikan anak-anak ini. Sama-sama memberi idea dan menyediakan prop pakaian, secara tidak langsung menjadi inspirasi buat mereka.
“Semoga mereka berjaya suatu hari nanti, membawa misi menjadi insan bermanfaat untuk keluarga, agama dan ummah. Harapan dan kebanggaan ibu ayah,” doaku dalam hati saat melihat rakaman video yang dikirimkan Cikgu Siti.
Di akhir program, anak-anak ini berdiri dalam dua barisan. Mereka mengikut rentak menyanyikan lagu yang telah dipopularkan oleh kumpulan kanak-kanak yang menuntut kedamaian. Bait-bait lagu tersebut sungguh menyentuh kalbu sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Masih terngiang-ngiang suara anak-anak yang membuat persembahan pagi tadi.
A’touna tufuli,
Beri masa kecil kami,
Hadir hadirkanlah kedamaian.
Sedang ralit menghayati gambar dan video ini, satu iklan daripada Facebook mengalih pandangan mataku. Laju pula aku menekan pautan tersebut lantas tetingkap baru dibuka.
‘Gaza bakal lumpuh sepenuhnya. Hasbunallahu wanikmal wakeel nikmal maula wanikmannseer’
KEPERLUAN MENDESAK!!!
AIR BERSIH & GANDUM DIPERLUKAN SEGERA UNTUK MEREKA TERUS BERTAHAN.
BEKALAN AIR DI GAZA SEMAKIN TERHAD!!
Tekan “LEARN MORE” untuk menyumbang.
Iklan yang menuntut secebis kemanusiaan daripada kita di bumi yang penuh aman ini untuk saudara seakidah kita termasuk anak-anak di Gaza. Saat musim sejuk melanda, saudara-saudara kita di Gaza dan Lubnan berhadapan dengan cabaran yang amat getir. Sehelai sepinggang menghadapi musim sejuk. Mereka tiada pilihan melainkan terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan.
Mereka kekurangan keperluan asas. Hidup dalam kesejukan melawan dinginnya malam. Tiada api pemanas, tiada baju sejuk, tiada makanan dan bekalan air bersih yang mencukupi bagi menghadapi cuaca sejuk melampau yang akan melanda negara mereka. Dengan kemajuan teknologi digital, semudah satu klik sahaja kita boleh menghulurkan bantuan kepada mereka. Ikatan akidah tidak akan pernah putus walaupun berbatu-batu jarak memisahkan secara geografinya.
Kadang-kadang kita merasakan pertolongan kita tidak memberi kesan buat mereka yang memerlukan di luar sana. Tapi bagi mereka yang menerima, tidak putus-putus ungkapan terima kasih diucapkan.
Perasaan gembiraku tadi bertukar sayu. Empati terhadap saudara seagamaku di luar sana; Palestin, Lubnan, Syria dan Yaman. Lebih menyayat hati, melihat anak-anak yang bukan sahaja hilang tempat bergantung kerana ibu bapa dan ahli keluarga yang menemui syahid dalam peperangan. Malah, anak-anak ini turut menjadi sasaran Israel laknatullah dalam tragedi yang sudah berlarutan melebihi satu tahun.
20 November saban tahun merupakan tarikh yang telah dipilih untuk meraikan anak-anak ini.
“Namun, bagi kanak-kanak di Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman, hari ini adalah tentang kelangsungan hidup,” memetik kata-kata James Elder, jurucakap Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Beliau menyatakan bahawa konflik, krisis iklim dan pengabaian secara luar kawalan ini merupakan satu ancaman yang sedang merosakkan anak-anak kecil.
Tanpa sedar, empangan yang menahan air di kelopak mataku pecah lalu laju mengalir membasahi pipi. Satu per satu air mataku menitik ke atas muka bayi perempuan di pangkuanku, menyebabkan dia terjaga daripada tidur. Cepat-cepat aku menepuk-nepuk belakangnya agar dia menyambung tidurnya. Matanya mulai tertutup, lena semula di pangkuanku. Sempat kutatap wajahnya yang mulus. Tidak dapat membayangkan keadaan bayi-bayi seusianya di bumi Gaza yang kehilangan ibu bapa.
Aku termenung seketika, menginsafi kehidupan ini.
Di saat kita dalam kesenangan menekan alat kawalan jauh untuk menurunkan suhu penghawa dingin di rumah kerana kepanasan, mereka sedang bergelut dengan cuaca sejuk.
Di saat kita membuka tong sampah untuk membuang makanan yang tidak habis di rumah, mereka sedang bersungguh-sungguh mengutip butiran bijirin di tanah sebagai sumber makanan.
Di saat kita sedang beratur untuk membeli makanan viral, mereka pula beratur mengharap ada bekalan makanan dapat dibawa pulang.
Di saat kita merungut inginkan air sejuk penghilang dahaga, mereka sangat menghargai apabila terjumpa kelopak air. Sekurang-kurangnya kita masih mendapat bekalan air bersih.
Maafkan kami ya Allah!
Terima kasih ya Allah!
Tidak terhitung nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Tidak sempat mensyukuri segala nikmat ini, bahkan rungutan demi rungutan yang sentiasa meniti di bibir kami.
Satu hantaran berita bertarikh 11 November 2024 memaparkan kisah perjuangan seorang ibu di Gaza bernama Itimad dalam memberi makan kepada tujuh orang anaknya setiap hari. Ya, ibu ini berjuang untuk memastikan anak-anaknya mempunyai sesuatu untuk dimakan bagi kelangsungan hidup mereka. Setiap hari, mereka beratur di tapak amal, membawa periuk kosong, hanya untuk menerima sedikit sup yang tidak pernah cukup mengisi perut mereka yang lapar. Perang dan serangan udara menghancurkan tempat tinggal mereka, menambah penderitaan dengan kelaparan yang semakin hari semakin teruk.
Semakin ramai anak-anak di Gaza mengalami nasib yang sama seperti anak-anak Itimad. Semakin hari mereka menderita dengan kelaparan. Akses kepada makanan yang terhad dan kronik ini membawa mereka kepada perkara yang lebih serius iaitu kekurangan zat makanan yang turut mengancam nyawa mereka. Sehingga Itimad hampir berputus asa dan hilang harapan. Itimad merasakan seakan-akan kematian merupakan satu-satunya solusi untuk menamatkan penderitaan anak-anak yang sungguh suci ini.
Dari berita ini, sumbangan bekalan makanan telah dibuka untuk badan kebajikan tertentu, dengan harapan segala bantuan yang dihulurkan dapat meringankan beban dan membekalkan keperluan makanan bukan sahaja untuk keluarga Itimad malah seluruh insan yang menerima nasib yang serupa.
Allahuakbar.
“Ke mana kamu nak bawa dia?”
“Ini adik saya. Dia baru dilanggar kereta. Saya mahu membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.”
Masya-Allah!
Dalam satu hantaran video di Instagram, seorang kakak yang dalam usia lapan atau sembilan tahun gigih menggendong adik perempuannya. Si kakak ini berjalan menggendong adiknya sejauh beberapa kilometer, yang tiada jaminan dia akan bertemu dengan orang yang dapat membantunya. Namun, Allah Maha Kaya menemukan seseorang menaiki kereta untuk membawa anak-anak ini mendapatkan rawatan.
Tidak cukup dengan berita ini, cabaran yang dihadapi kanak-kanak seluruh dunia memerlukan perhatian dan sifat kemanusiaan sejagat. Kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan di Afrika Selatan, anak-anak yang menjadi yatim piatu di Malawi, kanak-kanak di Bangladesh yang dikerah menjadi buruh juga termasuk kanak-kanak di Sydney yang mengalami krisis kesihatan mental. Mereka tetap kanak-kanak walau di mana sahaja mereka berada.
Subhanallah walhamdulillah. Syukurnya kita bumi ini. Dengan rahmat Allah yang mengurniakan kesejahteraan. Melihat anak-anak membesar di negara yang sedang diuji dengan pergolakan, kita sebenarnya diuji dalam bentuk kesenangan. Bagaimana nanti anak-anak ini akan menceritakan tentang kita saat kita semua dibangkitkan di medan hisab di hadapan-Nya. Semoga apa jua sumbangan dan bantuan kita hatta sekecil tembakan doa kepada mereka menjadi salah satu pemberat amal kebaikan kita di akhirat nanti.
Penulis: Nur Hafizah Ab. Aziz
Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
Masyaallah tabarakallah terima kasih Hafizah atas tulisan yang berkesan di jiwaku ini. Feel you.. sambil gendong anak berumur 7 hari
Menginsafkan..Teruskan menulis