Pada 8 Mac 2025, kita sekali lagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa (International Women’s Day), dengan tema “Wanita Beraspirasi Membina Legasi” yang memberi peluang untuk mengiktiraf sumbangan luar biasa wanita dari seluruh dunia. Hari Wanita Antarabangsa merupakan satu kesempatan istimewa untuk kita merenung dan merayakan pencapaian, kekuatan serta keberanian wanita di seluruh dunia. Tarikh tersebut dikhususkan untuk mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor serta memperjuangkan kesetaraan gender dan keadilan sosial.

Mengambil ibrah daripada kisah Asiah binti Muzahim, sempena Hari Wanita ini, kita dapat menelusuri tiga sifat utama Asiah yang menjadikan wanita sebagai permata berharga dalam komuniti. Daripada ayat 11, surah at-Tahrim, Allah SWT berfirman, maksudnya: 

“Dan Allah membuat perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, isteri Fir’aun, ketika dia berkata, “Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.””

[QS. At-Tahrim, 66:11]

Teguh Pendirian

Asiah merupakan simbol keteguhan iman. Asiah telah lama hidup bersama dengan Fir’aun. Namun, mengapa di penghujung hayatnya, dia berdoa, “Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.”

Kenapa Asiah menyebut ‘عندك’ yang bermaksud di sisi-Mu? Kenapa tidak di sisi Fir’aun? Bukankah Asiah telah diberi kekayaan harta, pangkat, kesenangan dan kemewahan di dalam istananya? Tidakkah Asiah merasa bahagia bersama Fir’aun?

Menurut riwayat, pada suatu hari, Fir’aun mendapati bahawa Asiah, telah mentauhidkan Allah. Lalu, Fir’aun memerintahkan para pengikutnya untuk mencari batu besar dan melemparkannya kepada Asiah. Fir’aun memerintahkan mereka untuk terus melempar batu sehinggalah Asiah menafikan keimanannya dan kembali tunduk kepada Fir’aun. Namun, Asiah teguh dengan pendiriannya dan tetap dengan keimanannya walaupun menderita kesakitan dan berada di ambang maut. Ketika itu, Asiah terus berdoa kepada Allah SWT sebagaimana yang disebutkan di atas.

Marilah kita mencontohi Asiah. Walaupun dihidangkan dengan pelbagai kemewahan, tetapi semua perkara itu tidak menjejaskan keimanan beliau kepada Allah SWT. Asiah tetap teguh dengan keimanan kepada Allah SWT yang akan menjamin keselamatannya di akhirat kelak. Beliau menyedari bahawa segala kemewahan dunia tidak boleh menggantikan kesenangan di syurga yang abadi.

Meski dibelenggu oleh kekejaman istana Fir’aun, keyakinan beliau terhadap Allah tidak goyah walau sedikit pun. Ini mengajar kita bahawa wanita yang berpendirian teguh mampu membawa perubahan besar dalam masyarakat. Sempena Hari Wanita Antarabangsa, kita meraikan wanita yang berdiri kukuh memperjuangkan hak dan keadilan, meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

 

Bijak Menyusun Kata-kata

Selepas memohon sebuah rumah di syurga, Asiah juga memohon kepada Allah agar berlepas diri dari segala kejahatan Fir’aun. Setelah keislamannya, Asiah dapat menentukan sesuatu kebenaran dan kejahilan yang berlaku. Beliau sedar akan kekejaman Fir’aun, maka, Asiah tidak jemu dan lelah untuk menasihati Fir’aun.

Pada suatu ketika, Fir’aun merancang untuk membunuh semua anak lelaki yang lahir pada tahun tersebut. Tapi, Asiah berjaya meyakinkan Fir’aun untuk mengambil Musa sebagai anak angkat mereka. Firman Allah SWT, maksudnya:

“Isteri Fir’aun berkata, “Bayi itu adalah penyejuk hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia akan bermanfaat kepada kita. Mari kita ambilnya menjadi anak angkat.””

[QS Al-Qasas, 28:9]

Dengan izin Allah, Asiah berhasil melunakkan hati Fir’aun yang kejam menerusi kebijakan tutur bicaranya. Walaupun Fir’aun bertekad hendak membunuh bayi tersebut, namun, setelah mendengar dan memikirkan kata-kata Asiah, Fir’aun menukar fikiran dan membenarkan bayi tersebut dibesarkan di dalam istananya.

“Berdasarkan perkara ini, kita dapat melihat bahawa sebagai wanita, walaupun kita tiada kuasa untuk membuat keputusan, kita tetap mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat. Jika pandangan kita bermanfaat, kita perlu berusaha menyuarakannya agar didengari dan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa.”

Kebijaksanaan Asiah dalam berkomunikasi menggambarkan betapa pentingnya kemahiran ini dalam membawa masyarakat ke arah kemajuan. Wanita yang bijak dalam berkomunikasi dapat menyatukan keluarga, komuniti dan rakan sekerja. Hanya dengan kata-kata, mereka mampu menggerakkan revolusi damai dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

 

Cakna Keadaan Sekeliling dan Tidak Terpengaruh

Sungguhpun Asiah tinggal di istana Fir’aun dan dihimpit oleh pelbagai kejahatan, kezaliman dan tekanan, namun, Asiah berani melawan segala kekejaman yang berlaku di sekelilingnya. Disebabkan keteguhan yang ada dalam diri, dia tidak mudah dipengaruhi oleh keadaan sekeliling dan tidak pernah terdetik pun di dalam hatinya untuk menyembah Fir’aun sebagaimana orang lain.

Keimanannya yang kuat terhadap Allah membolehkannya bangun dan memperkenalkan Allah SWT. Malah, dia berani mengaku keimanannya di hadapan Fir’aun sungguhpun dia mengetahui akibat yang akan diterima. Jika kita berada dalam keadaan yang penuh dengan kemungkaran, cubalah untuk menjadi ejen perubah. Jika tidak mampu, cukuplah kita menjaga diri agar tidak terpengaruh dengan keadaan sekeliling.

Kecaknaan Asiah terhadap keadaan sekeliling beserta keteguhannya dengan prinsip-prinsipnya menggambarkan kekuatan mental yang luar biasa. Wajarlah kita memberi penghormatan kepada wanita yang berani menjadi suara bagi yang tidak bersuara, dan yang memperjuangkan perubahan positif tanpa terpengaruh oleh tekanan luar.

Akhir kata, Hari Wanita bukanlah sekadar sambutan tahunan, malah ia adalah simbolik penghargaan kepada wanita. Hari Wanita juga merupakan satu seruan kepada kita semua untuk mencontohi nilai-nilai hebat yang ditunjukkan oleh wanita seperti Asiah. Kita menjunjung tinggi keperkasaan wanita dalam membentuk masa depan dunia yang lebih cerah dan adil, sambil mendoakan agar lebih banyak wanita mengilhamkan kita dengan kisah kepahlawanan mereka pada hari-hari mendatang.

Wahai wanita hebat yang sedang membaca, ayuh kita menjadi mutiara persis Asiah. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Wanita syurga yang paling utama adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Mazahim isteri Fir’aun.”

(HR Ahmad dan Thabrani)

Penulis: Siti Nabilah

Ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

*Penulis merupakan salah seorang peserta Akademi Daei Muda YADIM 2021.

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *