Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Sebagai suri rumah, kita pasti bersiap sedia untuk memastikan bulan yang penuh keberkatan ini berjalan dengan lancar. Selain memikirkan menu sahur dan berbuka, kita juga perlu memastikan ibadah seisi keluarga tetap terjaga. Jadi, ayuh kita buat persiapan lebih awal supaya Ramadan kali ini lebih tenang dan memberi makna dalam hidup kita!

Sebagai suri rumah, penting untuk mewujudkan suasana yang meriah dalam menyambut Ramadan agar anak-anak turut merasai kegembiraannya. Antara persediaan utama adalah memastikan stok makanan mencukupi untuk sahur dan berbuka, termasuk snek bagi anak-anak yang masih belajar berpuasa. Perancangan awal amat penting agar urusan penyediaan makanan tidak mengganggu fokus dalam beribadah dan meraih pahala di bulan yang mulia ini.

Maka perkara utama yang perlu kita lakukan adalah membuat checklist makanan. Bagi keperluan asas, kita perlu memastikan bekalan beras, roti gandum atau wholemeal, susu segar atau susu formula serta telur sentiasa ada di rumah. Selain itu, kita juga boleh menambah pasta seperti spaghetti atau macaroni dan kentang sebagai bahan yang wajib ada. Bahan keperluan untuk memasak seperti rempah ratus, bawang putih dan bawang merah juga boleh dibeli lebih awal.

 

Antara persediaan utama adalah memastikan stok makanan mencukupi untuk sahur dan berbuka, termasuk snek bagi anak-anak yang masih belajar berpuasa.

 

Untuk memastikan tenaga mencukupi, pastikan stok protein sentiasa ada di rumah. Antara sumber protein yang boleh disimpan ialah ayam, daging, ikan, tauhu, tempe, keju, dan kekacang seperti almond, kacang merah, dan kacang hijau. Stok ini boleh dibeli untuk kegunaan hingga dua minggu. Bagi keluarga yang menyukai ayam sebagai sumber protein utama, disarankan agar membeli stok dua atau tiga ekor ayam sekaligus untuk kegunaan selama dua minggu.

Ayam-ayam yang dibeli boleh dibahagikan dan dikumpulkan mengikut bahagian. Bahagian leher dan kaki boleh disatukan untuk digunakan sebagai bahan utama sup. Kaki ayam mempunyai kolagen yang tinggi dan boleh direbus untuk mengelakkan penyakit seperti selsema. Bahagian dada ayam adalah bahagian yang lembut dan rendah lemak. Ia sesuai dipanggang, dibakar atau ditumis. Dada ayam boleh dipotong kecil sebagai bahan untuk membuat nasi goreng atau mi goreng. Bahagian kepak dan drumet boleh disatukan untuk membuat menu gorengan atau BBQ. Bahagian paha ayam pula boleh dibuat rendang, masak merah, masak kicap dan sebagainya.

Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih kecil dan kerap lapar, makanan ringan perlu dijadikan stok. Contoh makanan ringan seperti biskut Marie, kerepek, yogurt, kurma, serta bijirin sarapan seperti Honey Stars, Koko Krunch, dan sebagainya.

Bagi makanan yang boleh dibeli secara mingguan adalah seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan dalam kategori ini adalah jenis makanan yang mudah rosak. Anak-anak kecil biasanya akan menyukai pisang, epal, oren, mangga dan anggur. Bagi mengelakkan pembaziran, pilih dua jenis buah-buahan sahaja pada setiap kali pembelian. Buah-buahan yang disukai kanak-kanak dan wajib ada biasanya seperti lobak merah, timun dan salad.

Seterusnya, kita boleh juga membuat persiapan pes makanan. Kita boleh membuat simpanan stok kisaran bawang dan halia di dalam peti sejuk. Ini dapat menjimatkan masa memasak. Kita juga boleh memotong ayam dan daging mengikut jenis dalam bekas sekali masakan. Selain itu, kita boleh rebus tulang ayam atau daging dan simpan dalam bekas kecil untuk kegunaan segera.

Pes asas yang wajib ada adalah seperti pes sambal, pes kari, pes sup, pes masak lemak dan pes tomyam. Pes sambal memerlukan cili kering dan bawang merah. Ia boleh digunakan untuk membuat sambal tumis nasi lemak, nasi goreng, kuah paprik dan sambal bilis. Pes rendang pula memerlukan bahan yang lebih banyak seperti cili kering, bawang, halia, kunyit hidup, serai dan kerisik. Pes masak lemak cili padi pula memerlukan cili padi, kunyit hidup, bawang merah dan serai. Masak dalam kuantiti yang banyak, simpan dalam peti dan bila tiba masa memasak … BOOM! Siap dalam 10 minit! Mudah, cepat, dan menjimatkan masa.

 

…kita boleh juga membuat persiapan pes makanan. Kita boleh membuat simpanan stok kisaran bawang dan halia di dalam peti sejuk. Ini dapat menjimatkan masa memasak.

 

Kita perlu membuat anak-anak ternanti-nanti ketibaan bulan Ramadan kerana kita berpeluang untuk meraih lebih banyak pahala. Ia juga bulan rahmat dan keampunan Allah terbuka luas. Malah syaitan tidak dapat mengganggu kita melainkan kita dibelenggu nafsu kemalasan diri sendiri. Kita perlu melatih anak-anak berpuasa separuh hari dulu sekiranya mereka masih kecil dan belum biasa.

Bagi meningkatkan semangat mereka, kita boleh buat “Ramadan Reward Chart” . Setiap kali mereka solat, baca al-Quran atau berpuasa penuh, mereka akan mendapat bintang atau sticker! Kita juga perlu menyediakan  susunan jadual ibadah dan ditulis dalam bentuk kotak untuk 30 hari. Kita boleh isi dengan solat sunat seperti terawih, dhuha dan tahajud. Kita boleh juga mengisi rekod bacaan al-Quran. Sasarkan sekurang-kurangnya satu juz sehari.

Di samping itu, kita juga boleh buat rekod bersedekah. Sedekah boleh jadi dalam bentuk memberi makanan atau menolong jiran. Carta ini hanya sebagai pemberi semangat untuk meraih pahala. Namun kita perlu ingatkan anak-anak agar sentiasa berdoa supaya amalan diterima kerana banyaknya amalan bukanlah syarat amalan tersebut diterima, tetapi amalan yang ikhlas dilakukan kerana Allah adalah syarat yang paling utama.

Jangan lupa tampal kata-kata semangat seperti ‘Ahlan Wa Sahlan ya Ramadan’ di bilik atau di ruang tamu supaya seisi rumah dapat merasai keseronokkan menyambut Ramadan. Bahan yang digunakan walaupun mungkin murah  dapat membentuk suasana baru yang ceria, insya-Allah!

 

Bagi meningkatkan semangat mereka, kita boleh buat “Ramadan Reward Chart” . Setiap kali mereka solat, baca al-Quran atau berpuasa penuh, mereka akan mendapat bintang atau sticker!

 

 

Dengan persiapan yang rapi, kita dapat menjalani Ramadan dengan lebih tenang tanpa tekanan di dapur. Ingat, Ramadan bukan hanya tentang memasak, tetapi juga peluang untuk meningkatkan ibadah dan memperkukuhkan hubungan keluarga.

Jadi, jom buat persiapan sekarang! Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna dan penuh keberkatan buat kita semua.

Penulis: Nur Hakimah Maziah binti M Jasman

Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *