Tahun baru ialah satu peristiwa yang dianggap simbolik pada setiap tahun tanpa mengira kaum atau lapisan masyarakat. Ia menandakan satu langkah atau satu harapan untuk meninggalkan sesuatu yang negatif dan menyedihkan kepada sesuatu yang baru dan lebih baik.

 

Pelbagai cara dan budaya unik diadakan untuk menyambut tahun baru. Setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk menyambut tahun baru bagi mencerminkan tradisi dan budaya mereka. Sebagai contoh di Sydney, Dubai dan London akan diadakan Pesta Bunga Api pada setiap tahun baru. Pemandangan langit yang dihiasi bunga api berwarna-warni menjadi lambang sambutan tahun baru. Di Sepanyol pula penduduk menyambut dengan memakan 12 biji anggur pada detik tengah malam sebagai simbol harapan untuk 12 bulan yang bertuah.

 

Selain kemeriahan, tahun baru juga merupakan peluang untuk merenung pencapaian dan cabaran sepanjang tahun lalu. Ramai orang membuat resolusi tahun baru, iaitu azam untuk memperbaiki kehidupan. Antara resolusi yang popular termasuklah mengamalkan gaya hidup sihat, mendapatkan berat badan yang ideal, menabung untuk masa depan, meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta pelbagai azam lain.

 Selain kemeriahan, tahun baru juga merupakan peluang untuk merenung pencapaian dan cabaran sepanjang tahun lalu. Ramai orang membuat resolusi tahun baru, iaitu azam untuk memperbaiki kehidupan.

 

Pada masa kini, kehidupan kita yang diseret dengan arus kemodenan menjadikan hampir setiap individu sentiasa membawa telefon pintar ke mana-mana sahaja. Hal ini kerana, pelbagai aplikasi yang tersedia dengan kemudahan Internet yang boleh diakses di tempat awam dengan harga yang berpatutan. Aplikasi ini dapat membantu memudahkan kerja seharian dalam bidang komunikasi, pembayaran bil, urusan kerajaan dan sebagainya.

 

Aplikasi ini juga merangkumi aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram. Seperti yang kita ketahui, media sosial adalah aplikasi yang digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia untuk bersosial, berkomunikasi serta berhibur. Namun, ia juga menjadi punca kepada pembaziran masa dan tekanan sosial. 

 

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, jumlah pengguna yang dikeluarkan Laporan Bancian Malaysia pada tahun 2020  mendapati bahawa media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, X, LinkedIn dan Telegram adalah platform atau aplikasi yang paling banyak digunakan dengan jumlah 24.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas.

 

Daripada angka tersebut, 16 juta orang iaitu 64.7% telah menjawab soalan mengenai akaun media sosial. WhatsApp adalah platfom pengguna media sosial tertinggi dengan 86.5% manakala dua pertiga daripada responden melaporkan menggunakan Facebook. Angka ini diikuti 39.2% yang menggunakan Instagram. Peratusan lebih kecil bagi responden yang menggunakan Telegram, X dan LinkedIn. Tiktok pula semakin mendapat sambutan ramai.

 

Menurut laporan Digital 2023, anggaran masa yang dihabiskan rakyat Malaysia untuk penggunaan media sosial adalah selama tiga jam setiap hari. Ia lebih tinggi berbanding purata global iaitu dua jam 31 minit. Selain itu, laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Meltwater iaitu pemimpin global dalam maklumat media sosial mendapati pengguna Internet di Malaysia secara purata menggunakan tujuh media sosial. Majoritinya iaitu 58.7% daripada mereka menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat mengenai jenama atau membeli belah. Laporan tersebut turut mendapati 87.4% pengguna internet di Malaysia yang berusia 16 hingga 64 tahun menggunakan internet untuk bermain permainan video. Ia adalah jauh lebih tinggi berbanding penanda aras global dengan tujuh peratus.

 

 Menurut laporan Digital 2023, anggaran masa yang dihabiskan rakyat Malaysia untuk penggunaan media sosial adalah selama tiga jam setiap hari. Ia lebih tinggi berbanding purata global iaitu dua jam 31 minit.

 

Penggunaan yang berlebihan dalam media sosial membawa impak negatif yang lebih besar berbanding manfaatnya. Hal ini kerana, media sosial menjadi tempat individu yang telah berkahwin untuk mengadu hal yang tidak sepatutnya serta mengaibkan pasangan atau keluarga pasangannya. Justeru, secara tidak langsung menyebabkan kadar penceraian di Malaysia semakin bertambah sehingga mencatatkan angka 62,890 pada tahun 2022 menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia. Media sosial juga menyebabkan generasi muda berlumba-lumba menunjukkan kehidupan mewah di luar kemampuan.

 

Sempena dengan tahun baru yang sering dikaitkan sebagai masa paling sesuai untuk membuat resolusi yang lebih baik, mari kita kaji dan kenali aplikasi canggih yang terdapat pada telefon pintar. Dengan cara ini, kita dapat memperbaiki taraf hidup serta mengelakkan diri daripada menghabiskan masa terpesona dengan kehidupan selebriti atau pempengaruh. Penggunaan aplikasi yang ada boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan potensi diri. Kita boleh juga mempelbagaikan kebolehan dalam pelbagai bahasa sekali gus menyumbang kepada komuniti yang berilmu pengetahuan.

 

Bagi pembelajaran bahasa asing, aplikasi seperti Duolingo, Memrise, dan Babbel boleh digunakan. Aplikasi seperti ini menyediakan platform interaktif untuk anak muda mempelajari bahasa asing dengan cara yang menyeronokkan. Sesiapa sahaja boleh mempelajari bahasa asing seperti Arab, Mandarin, atau Perancis dengan mudah. Kebanyakan aplikasi menawarkan permainan, kuiz, dan pengulangan untuk membantu pembelajaran.

 

Tambahan lagi, aplikasi seperti BeHafizh, Quran Memorization Test, Tarteel, Easy Quran Courses dan Quran Companion dapat membantu individu untuk menghafal dan mempelajari al-Quran lebih mendalam. Aplikasi Tarteel dan  BeHafizh misalnya menggunakan teknologi AI audio yang dapat mengesan kesalahan tajwid atau kesilapan susunan perkataan apabila individu menyimpan rekod menggunakan mikrofon. Aplikasi Easy Quran Courses pula dibina dengan sistem kajian daripada Dr Abdulazeez Abdulraheem yang dapat membantu individu mempelajari 50% perkataan dalam al-Quran dalam tempoh sembilan jam pembelajaran. Aplikasi ini mengandungi struktur plan seperti video, nota dan kuiz . Ianya disusun secara sistematik selain mudah diingat kerana perkataan yang digunakan adalah daripada doa dan bacaan di dalam solat.

Aplikasi Easy Quran Courses pula dibina dengan sistem kajian daripada Dr Abdulazeez Abdulraheem yang dapat membantu individu mempelajari 50% perkataan dalam al-Quran dalam tempoh sembilan jam pembelajaran. Aplikasi ini mengandungi struktur plan seperti video, nota dan kuiz . Ianya disusun secara sistematik selain mudah diingat kerana perkataan yang digunakan adalah daripada doa dan bacaan di dalam solat.

 

Manakala untuk pendidikan, aplikasi seperti Kahoot! dan Quizizz dapat menggalakkan pembelajaran. Pengguna dapat membuat projek atau kuiz berkaitan dengan pelbagai tema dan audio. Topik yang disediakan merangkumi sains, matematik dan sejarah. Permainan yang disediakan akan menjadikan pembelajaran menyeronokkan dan menggalakkan persaingan sihat.

 

Bagi tujuan meningkatkan kreativiti, individu boleh menggunakan aplikasi Canva, ClickUp, Movavi, Typito dan Placeit. Individu boleh berkarya untuk mereka cipta poster, kad atau persembahan video untuk tujuan pengiklanan dan sebagainya. Bagi tujuan pengaturcaraan atau coding, individu boleh menggunakan aplikasi Programming Hub, Sololearn, Mimo dan Tynker. Bagi tujuan aplikasi sukan pula, terdapat aplikasi seperti MyFitnessPal, HomeWorkout, dan Strava yang dapat menggalakkan aktiviti fizikal dengan panduan senaman yang menyeronokkan.

 

Kesimpulannya, semua orang dapat memanfaatkan telefon pintar sekiranya mereka memuat naik aplikasi yang berfaedah. Dengan menggunakan masa dengan perkara yang bermanfaat, mereka tidak lagi bersaing dengan orang luar dari segi gaya hidup tetapi akan lebih bersaing untuk memperbaiki diri sendiri. Kos untuk menjadikan hidup seseorang itu lebih bermakna bermula dari minda yang sihat dengan memperbaiki diri bukan sahaja pada tahun baru tetapi pada setiap permulaan hari yang baru.

Penulis: Nur Hakimah Maziah

Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *