Tahun baru, semangat baru. Tidak terasa, kita sudah melangkah ke tahun 2025 dengan harapan dan cita-cita yang lebih tinggi.

Langkah pertama tahun ini membawa saya kepada dua artikel menarik di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Januari 2025 yang sama-sama mengetengahkan peranan wanita khususnya suri rumah dan wanita bekerjay dalam masyarakat.

Artikel pertama, bertajuk “Kemiskinan Meningkat Jika Wanita Tidak Bekerja”, membicarakan peranan penting wanita dalam pasaran pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan. Penulis menegaskan bahawa penyertaan wanita dalam ekonomi keluarga mampu menjamin kesejahteraan yang lebih baik dan mengurangkan beban kewangan dalam rumah tangga.

Namun begitu, artikel kedua bertajuk “Ramai Wanita Pilih Jadi Suri Rumah” menyentuh hati saya. Artikel ini mengiktiraf pilihan wanita untuk menjadi suri rumah sebagai satu fenomena yang membawa impak besar kepada keluarga dan masyarakat. Ia menggambarkan bagaimana suri rumah menjadi tulang belakang dalam mendidik generasi akan datang, menjaga keharmonian keluarga, dan mencipta kestabilan sosial melalui pengurusan rumah tangga yang cemerlang.

Sebagai seorang wanita, saya memahami betapa sukarnya untuk membuat keputusan sama ada ingin bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Namun, saya percaya setiap pilihan itu ada nilai dan sumbangannya yang tersendiri.

Tidak dinafikan, wanita yang bekerja menyumbang secara signifikan kepada ekonomi keluarga dan negara. Dalam banyak kes, pendapatan wanita menjadi penyelamat kewangan keluarga, mengurangkan kadar kemiskinan seperti yang ditegaskan dalam artikel pertama.

Namun begitu, artikel kedua mengingatkan kita bahawa suri rumah juga memainkan peranan yang tidak kurang hebatnya. Mereka mencurahkan tenaga dan kasih sayang dalam mendidik anak-anak, membina asas nilai moral, dan memastikan keluarga berkembang dalam suasana yang penuh kestabilan. Ini adalah sumbangan yang tidak ternilai harganya, yang jarang diukur dengan statistik ekonomi tetapi tetap memberi kesan besar kepada masyarakat.

Berdasarkan kedua-dua perspektif ini, tahun 2025 harus menjadi titik permulaan untuk kita lebih menghargai kedua-dua peranan ini.

Wanita yang bekerja dan suri rumah sama-sama memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara. Sudah tiba masanya kita menyediakan sokongan inklusi baik dalam bentuk dasar, program pembangunan, atau penghargaan sosia untuk kedua-dua golongan ini.

Sebagai ibu, pekerja, atau suri rumah, setiap wanita adalah ‘CEO’ dalam kehidupan mereka sendiri. Kejayaan keluarga dan masyarakat bermula apabila setiap wanita dihargai, tanpa mengira peranan yang mereka pilih. Sokongan kita, sebagai masyarakat dan kerajaan, akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan kestabilan ini.

Tahun 2025 adalah masa untuk kita bersatu dan mengiktiraf setiap sumbangan wanita, sama ada di luar rumah atau di dalam rumah. Kerana setiap peranan mereka adalah penting, bermakna, dan membawa harapan kepada masa depan yang lebih gemilang.

 

 

Ibu CEO
Penyokong Kesejahteraan Wanita dan Keluarga

Penulis: Ila Nursalida binti Amran

Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

 

Pautan artikel asal penulis boleh didapati di sini.

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *