Islam datang dengan cahaya yang menerangi gelapnya sikap jahiliyah yang dilakukan terhadap wanita. Agama ini melarang kezaliman yang dilakukan pada masa itu dengan mengharamkan mengubur hidup-hidup bayi perempuan. Islam menetapkan hak waris bagi wanita, menganugerahkan adanya penghormatan terhadap wanita sebagai seorang ibu, mensyariatkan pemberian nafkah sebagai seorang isteri, serta menitahkan pemberian kasih sayang dan hak pendidikan sebagai seorang puteri.
Islam memberikan penjagaan untuk wanita sebagaimana seorang ratu dalam kemegahan istana. Cukup baginya berada di dalam singgahsana istananya. Tidak dibebankan padanya kewajiban menafkahi keluarga, solat berjemaah, dan jihad. Kerana dengan demikian dia dapat berkonsentrasi penuh untuk menaati Allah dan Rasul-Nya, serta mengurus keluarga sebagai permaisuri dan ibu sejati bagi sang buah hati berupa putera dan puteri. Dia ialah penebar kelembutan, benih kebahagiaan, dan pengetahuan untuk sang buah hati. Peranannya begitu penting, maka tidak selayaknya dia berada di luar rumah sehingga istananya kehilangan lentera.
Begitulah Islam mengatur kehidupan manusia, sebagai prinsip dan aturan hidup yang tidak ada cacat celanya. Namun, musuh-musuh Islam tidak rela melihat kesucian dan kehormatan wanita muslimah. Mereka menyedari bahawa baiknya wanita akan menjadikan baik pula keadaan masyarakatnya, dan dengan rosaknya wanita maka rosaklah pula keadaan masyarakat itu. Maka mereka berusaha meniupkan pemikiran yang bersimpang siur untuk menggoyahkan pemahaman wanita muslimah terhadap aturan syariat yang telah jelas sempurna. Mereka bersuara mengatasnamakan kesamarataan, kemerdekaan, dan kebebasan bagi wanita.
Aduhai, kesamarataan mana yang diinginkan? Jika wanita dan lelaki disamaratakan, justeru apa jadinya jika wanita menjadi tentera, pemandu pengangkutan awam, dan mekanik, sedangkan lelaki menjadi pengurus rumah, memasak, dan menimang-nimang anak? Sungguh ini adalah ketidakadilan, sesuatu diletakkan bukan pada tempat yang semestinya. Padahal Allah memang menghendaki adanya wanita dan lelaki. Wanita diciptakan sebagai wanita, dan lelaki diciptakan sebagai lelaki. Wanita diciptakan berbeza dengan lelaki dan begitu pula sebaliknya. Allah Ta’ala telah menegaskan dalam firmannya:
وَلَيسَ الذَّكَرُ كَالأُنثىٰ
“Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; .”
(QS. Ali Imran: 36).
Allah ciptakan lelaki dengan ketegapan badannya, fizik yang berkembang, dan kemahiran berfikir logik yang kuat. Sedangkan wanita, Allah ciptakan dirinya dengan kehalusan batin, kelembutan perasaan, dan meredam perasaan. Maka tugas yang digalas keduanya pun berbeza. Dengan kekuatan fizik dan akalnya, lelaki ditugaskan untuk keluar rumah, bekerja mencari nafkah. Sedangkan wanita dengan kelembutannya diamanahkan kepadanya untuk mengatur rumah dan mendidik anak-anak. Maka inilah keseimbangan yang benar, dengannya akan ada keselarasan kerana meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya.
Aduhai, jika mereka mengatasnamakan kemerdekaan, maka kemerdekaan jenis mana yang diinginkan? Yang ada adalah kemerdekaan yang justeru membuahkan penjajahan bagi generasi selanjutnya. Bagaimana tidak? Mengeluarkan wanita dari rumah dan menjadikannya sibuk bekerja sehingga lalai dengan tugas utamanya, bererti menghilangkan sosok seorang ibu di rumah. Maka kerana itu Allah Ta’ala telah menghuraikan dalam firman-Nya,
وَقَرنَ في بُيوتِكُنَّ
“ Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu…”
(QS. Al-Ahzab: 33).
Alangkah menyedihkan jika anak-anak kehilangan perhatian ibunya hanya kerana dalil kebebasan. Anak-anak tidak lagi mendapati kelembutan kasih sayang, keindahan keperibadian, keelokan akhlak, dan kesejukan nasihat. Sebahagian mereka ada yang ditinggal, dititipkan orang, dan ada juga yang dijaga babysitter, tanpa adanya pengawasan dari penanggung jawabnya (ibu). Padahal diluar sana banyak sekali hal-hal yang mengkhuatirkan. Aduhai, alangkah sedih jika perkara ini dideklarasikan atas nama kebebasan, padahal pada sisi lain, anak menjadi sasaran penjajahan.
Maka, sungguh tidak layak bagi seorang wanita muslimah menggadaikan norma-norma Islam demi mengimport kefahaman sesat.
Ingatlah, mengikuti perkembangan globalisasi tidak wajar mengubahnya menjadi lelaki! Wanita tetaplah wanita, dengan karakteristiknya dan tugas-tugasnya. Tuntutan perkembangan zaman tidak harus menjadikannya boleh mengabaikan tanggung jawabnya demi cita-cita kebebasan dan kemerdekaan. Di hadapannya akan ada pilihan yang patut dipertimbangkan, merasakan kemerdekaan tapi menjadi sengsara, ataukah bersabar di dalam rumah tapi membuahkan kebahagiaan?
Wahai wanita, sedarilah bahawa wanita tetaplah wanita!
Jika demikian halnya, apa yang engkau inginkan sekarang? Kemerdekaan atau kesengsaraan?
Penterjemah: Asiera Ummu Muadz
Referensi:
1). Senja Kala Bidadari karya Zainal Abidin bin Syamsuddin Lc. dan Ummu Ahmad Rifqi. Penerbit pustaka Imam Bonjol
2). Al-quran terjemahan
Sumber: https://muslimah.or.id/8920-wanita-tetap-wanita.html
Copyright ©️ 2024 muslimah.or.id