
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT kerana sekali lagi mengizinkan kita bertemu bulan Ramadan al-Mubarak.
Sebagai Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua wanita, ibu dan isteri yang sentiasa menjadi tonggak rahmah dalam keluarga dan masyarakat.
Wanita, khususnya seorang ibu dan isteri, adalah cerminan rahmat Allah di dunia ini. Dalam kelembutan seorang ibu, terletak kekuatan membimbing anak-anak menjadi generasi soleh dan solehah. Dalam pengorbanan seorang isteri, terpancar kesabaran dan kasih sayang yang menjadi asas keharmonian rumahtangga. Sesungguhnya wanita-wanita hebat ini sedang menjunjung sunnah Rasulullah seperti firman Allah:
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةًۭ لِّلْعَـٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
(Al-Anbiyaa`: 107)
Selain itu, pada bulan Ramadan ini juga, kita diseru untuk memperkukuhkan sifat rahmah yang sedia ada dalam diri kita. Sebagai wanita, jadikan bulan mulia ini sebagai masa untuk merenung dan memperbaiki diri, menambah amal soleh, serta terus menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat keluarga.
Semoga dengan keberkatan Ramadan, kita dapat memperkukuh institusi keluarga, memupuk nilai kasih sayang sekali gus membawa rahmah ke dalam setiap aspek kehidupan kita. Marilah kita manfaatkan bulan mulia ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan terus berkhidmat dengan penuh ikhlas kepada keluarga dan masyarakat.
Akhir kata, saya mendoakan agar Ramadan tahun ini menjadi peluang untuk kita semua mencapai ketenangan rohani dan keberkatan yang berpanjangan. Semoga amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT dan semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang bertakwa, insya-Allah.
Salam Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa.
“Wanita Rahmah, Tiang Seri Keluarga dan Masyarakat.”
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ramadan Kareem
Rose Jazimah Abd Jalil
Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
Penulis: Rose Jazimah Abd Jalil
Presiden, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
0 Comments