Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi peluang untuk melangkah ke tahun baharu 2025. Setiap tahun membawa pelbagai pengalaman—ada impian yang berjaya direalisasikan, dan ada yang tersimpan sebagai cita-cita untuk masa hadapan. Begitu juga dengan perjalanan Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) yang turut melalui percaturan kehidupan, kerana mereka yang menggerakkannya adalah insan bergelar suri rumah.
Namun begitu, semangat dan komitmen para ahli untuk menyumbang kepada masyarakat telah menghasilkan pelbagai pencapaian manis yang wajar dibanggakan. Ini membuktikan bahawa wanita, termasuk suri rumah, mampu menjadi agen perubahan apabila mereka diberdayakan dengan baik.
Berpegang kepada visi “Menjadi wadah pemberdayaan suri rumah muda,” SRR telah mencatat pelbagai pencapaian penting. Antara kejayaan ini termasuk membina kerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA), agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan banyak lagi. Saya yakin bahawa melalui kolaborasi, lebih banyak inisiatif baharu dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan. Selain itu, semangat kerjasama ini juga mampu meningkatkan keharmonian masyarakat serta mewujudkan perasaan sepunya (sense of belonging) dalam kalangan wanita, khususnya suri rumah.
Tahun 2025 dijangka menjadi tahun penting untuk menilai kejayaan pelaksanaan perancangan sepanjang 2024 dan tahun-tahun sebelumnya. SRR juga teruja untuk menganjurkan acara dwi-tahunan, Konvensyen Suri (KONSURI), yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun 2025 dengan tema “Memperkasa Pemberdayaan Suri Lestari.”
Saya ingin menyeru semua ahli SRR dan masyarakat di luar sana untuk terus bersama-sama menjayakan agenda pemberdayaan wanita, khususnya suri rumah, demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Tahun baharu 2025 ini adalah peluang untuk kita memperkukuhkan kerjasama, menyemai semangat perpaduan, dan melakar kejayaan baharu yang lebih bermakna.
Dengan izin dan rahmat Ilahi, saya yakin SRR akan terus maju sebagai platform yang mendukung aspirasi suri rumah di Malaysia.
Selamat datang 2025!
Rose Jazimah Bt. Abd Jalil
Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
Penulis: Rose Jazimah Bt. Abd Jalil
Presiden, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
0 Comments