Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) terus memperkukuh peranannya dalam pemberdayaan wanita dengan termeterainya perjanjian kerjasama dengan Khazanah Research Institute (KRI) pada 4 Februari lepas. Majlis pemeteraian perjanjian ini berlangsung di Tingkat 17, Bangunan Mercu UEM, Kuala Lumpur, dari jam 2:00 petang hingga 4:00 petang. Kerjasama ini memberi fokus kepada pelaksanaan Projek Penyelidikan bertemakan “Ekonomi Penjagaan (Care Economy): Memperkasa Suri, Membina Keluarga dan Masyarakat Sejahtera.” Projek ini akan dijalankan menggunakan kaedah Focus Group Discussion (FGD), Round Table Discussion (RTD), dan Tinjauan Soal Selidik (TSS).

 

Projek penyelidikan ini, yang merangkumi lima subprogram dan lima fasa, akan berlangsung secara berterusan selama lapan bulan. Ia merupakan projek rintis terbesar menjelang KONSURI 2025, yang dijadualkan pada 14 September 2025. KRI bersetuju menyalurkan dana hampir RM50,000.00 bagi menjayakan kajian rintis ini.

 

Tambahan pula, projek ini bukan sahaja melibatkan penyelidikan, malah hasil kajian bakal dikumpul dan dianalisa untuk menghasilkan sebuah buku manual yang akan menjadi rujukan dan panduan kepada suri rumah serta pemegang taruh termasuk agensi berkepentingan.

 

Wakil SRR yang hadir ialah Puan Rose Jazimah Abdul Jalil (Presiden), Puan Siti Suzilah Saini (Naib Presiden), Puan Nurul Asyikin Ngadiso (Pengarah Projek Penyelidikan) dan Dr Wan Hamdah Wan Ahmad (Setiausaha Projek Penyelidikan). Manakala KRI diwakili oleh Puan Siti Najyah Johar Salim (Chief Operating Officer), Puan Nurul Ain Fatizah Rahim (Senior Manager), Puan Puteri Marjan Megat Muzafar, Ilyana Syafiqa Mukhriz Mudaris dan Encik Adam Manaf Mohamed Firouz (Research Associates).

 

Kerjasama ini diharapkan mampu menghasilkan penulisan berimpak tinggi yang akan memberi manfaat besar kepada suri rumah di Malaysia. Melalui pendekatan kajian yang komprehensif, SRR mengharapkan projek ini dapat memperkasakan golongan suri rumah dalam membina keluarga dan masyarakat yang lebih sejahtera di masa hadapan. Tahniah diucapkan kepada SRR atas komitmen dan kejayaan ini.

 

 

Penulis: Nurul Asyikin binti Ngadiso

Pengarah Projek FGD, RTD dan Penerbitan Buku KONSURI 2025

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *