Program MPS: Suri dan Masyarakat

Telah berlangsung dengan meriahnya program Mini Karnival Suri 5R pada 28 Julai 2024 bertempat di Dewan Cengal, Seksyen 24, Shah Alam, Selangor.  Dianggarkan seramai lebih 200 orang peserta  dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk barisan ahli jawatankuasa turut memberi sambutan menggalakkan untuk bersama-sama mengikuti taklimat dan demo yang bertemakan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Re-purpose).

Program ini merupakan kolaborasi pertama di antara Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8 MBSA dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga, Pusat Wanita Berdaya Selangor, dan Parlimen Shah Alam.

Majlis diserikan lagi dengan perasmian oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Haji Azli bin Yusof, dengan gimik perasmian yang bertemakan 5R dimana penggunaan  botol sabun terpakai serta penyembur baja organik menjadi simbol utama dalam acara perasmian bagi mengetengahkan pemanfaatan kreatif lagi berinovatif bahan kitar semula seiring dengan hasrat Majlis Bandaraya Shah Alam. Pentas utama turut dihiasi dengan barangan terpakai yang sudah dikitar semula dan dicantikkan lagi dengan pokok-pokok hiasan yang menarik perhatian setiap hadirin. Dalam ucapan YB Tuan Haji Azli, beliau menegaskan  5R ini sangat perlu diberi penekanan di peringkat rumah dan masyarakat kerana selain ia dapat memberi nilai yang baik kepada kita, kini ia juga boleh menjana pendapatan, seperti penjualan minyak masak terpakai.

Ceramah & Pameran

Program dimulakan dengan sesi penyampaian taklimat oleh Cik Nur Dini binti Mohd Marzuki, Penolong Pengarah, Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa, MBSA dengan tajuk Pengurangan Sisa Ke Arah Ekonomi Kitaran di Shah Alam. Seterusnya, program diceriakan lagi dengan perkongsian pengalaman menyelami gaya hidup masyarakat dari negara Matahari Terbit iaitu Jepun oleh Ar. Aimee binti Roslan, ahli “Social & Community Responsibility Committee”  dari Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) disusuli dengan selingan kuiz yang merancakkan lagi program. Peserta juga disajikan dengan taklimat berkaitan teknik kompos dak teknologi nano berkaitan keterjaminan makanan serta berpeluang melihat demo pembuatan kompos secara langsung oleh Puan Sarifah binti Yaacob, Pengarah Urusan AM PM International Sdn Bhd. Penglibatan peserta dalam sesi kuiz bagi taklimat ini juga amat menggalakkan.

Para pengunjung  yang hadir turut berpeluang untuk mengenali Persatuan SRR dengan lebih dekat di reruai SRR yang berada di hadapan pintu masuk. Cenderamata menarik diberikan kepada pengunjung yang mendaftar sebagai ahli. 

Beberapa reruai juga menarik lagi kehadiran para pengunjung seperti reruai penjualan baja kompos, reruai jualan makanan dan minuman, cenderamata SRR, pokok hiasan bagi menyokong para usahawan kecil yang  terdiri daripada ahli persatuan, syarikat dan orang awam.   

Pemeriksaan Kesihatan Percuma

Program ini juga diserikan lagi dengan beberapa reruai yang menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, kadar gula di bahagian luar dewan manakala pemeriksaan mata, ujian HPV dan PAP smear oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) disediakan buat pengunjung di dalam dewan. Pengunjung juga boleh membuat temu janji bagi menjalani ujian mammogram yang dikhususkan buat wanita yang berumur di antara 40 hingga 70 tahun. 

Aktiviti Kanak-Kanak

Di antara kemudahan utama yang disediakan ialah bilik asuhan dan aktiviti kanak-kanak bagi memberi peluang peserta yang majoritinya terdiri daripada golongan sasaran iaitu surirumah muda yang mempunyai anak berusia linkungan 3 ke 12 tahun. Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk kanak-kanak berusia 7 tahun keatas seperti bouncy castle yang bertemakan superhero dan haiwan serta pertandingan warna yang berkonsepkan 5R yang di sertai oleh 70 orang kanak-kanak. Bagi kanak-kanak di bawah umur 6tahun, terdapat pelbagai aktiviti kraf dan tayangan video bertemakan 5R. Kanak-kanak adalah generasi masa hadapan yang akan memimpin dunia, jadilah sangat perlu untuk kita mendidik mereka memahami apa itu 5R. 

Cabutan Bertuah

Tidak lengkap mini karnival ini tanpa cabutan bertuah. Pelbagai hadiah menarik seperti hamper masakan, hamper makanan, set biji benih & pasu, anak pokok, penyembur baja, bekas Tupperware, bekas garam kaca, set kompos dan baucar diskaun spa. Hadiah Utama Cabutan Bertuah ialah Oven Pensonic 35L di anggarkan bernilai RM300 lebih. Hadiah kuiz turut diberikan kepada 35 pemenang bertuah yang ditaja oleh MPP Zon 8 serta penceramah.

Pihak MBSA turut menyediakan kaunter pembelian barangan kitar semula yang digantikan dengan baucar 99 Speedmart, di antara barang yg telah berjaya dikumpulkan ialah minyak masak terpakai, kertas, plastik dan lain-lain.

Pencapaian

Di harap majlis ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyebarkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan menjaga alam sekitar. Kehadiran yang menggalakkan dan penyertaan aktif daripada komuniti menunjukkan betapa masyarakat kita semakin peka terhadap isu-isu alam sekitar.

 

Penutup

Keseluruhannya, Mini Karnival Suri 5R pada tahun ini telah memberi impak yang positif kepada semua yang terlibat. Kami berharap semangat dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang majlis ini akan terus diamalkan dalam kehidupan harian, demi kelestarian alam sekitar kita. Terima kasih kepada semua penganjur, penaja, sukarelawan, dan peserta yang telah menjayakan majlis ini.

 

Jumpa lagi di acara yang akan datang!


Mini Karnival Suri 5R ini adalah di bawah Modul Pembangunan Suri: Suri dan Masyarakat.

 

 

Penulis: Isruwanti Ummu Nashifa

Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *