Shah Alam – Pada 16 Disember 2024, sebuah majlis pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) telah diadakan antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) bertempat di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA, Kampus Puncak Alam. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkasakan kesihatan mental suri rumah di Malaysia.
Sebelum MoA ini, telah berlangsung projek inovasi dan kolaborasi antara SRR dan UiTM Puncak Alam yang diberi nama Suri-Permai. Projek ini dimulakan pada Jun 2024 dengan penyampaian tujuh modul oleh pakar psikiatri dan ahli psikologi klinikal dari UiTM, yang disampaikan melalui webinar bersiri. Promosi, pendaftaran, dan pengurusan teknikal program ini dijayakan sepenuhnya oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah.
Modul-modul dalam Program Suri-Permai:
- Modul 1: Disampaikan oleh Dr. Azreen Hashim, Ketua Jabatan Psikiatri, mengenai Mengenali Emosi dan Cara Mengawal Emosi untuk mencapai kestabilan dan kebahagiaan.
- Modul 2: Disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Salmi Razali, Perunding Psikiatri, yang mengajar teknik penyelesaian masalah menggunakan formula SELESAI.
- Modul 3: Disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Nur Faizah Ali, Pakar Perunding Psikiatri, mengenai teknik komunikasi yang berkesan dan cara berkomunikasi dengan cara yang berbeza.
- Modul 4: Disampaikan oleh Puan Siti Aminah Omar, Ahli Psikologi Klinikal, yang mengajar teknik-teknik mengawal kemarahan dan respon berkesan sewaktu marah.
- Modul 5: Disampaikan oleh Dr. Sakinah Idris, Ahli Psikologi Klinikal, yang mengajar teknik menukar pemikiran negatif kepada pemikiran positif dan teknik pengstrukturan semula fikiran.
- Modul 6: Disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Salina Mohamed, yang berkongsi teknik memulihkan jiwa melalui kaedah relaksasi.
- Modul 7: Disampaikan oleh Dr. Nor Hidayah Jaris, yang mengajar kemahiran keibubapaan dan cara untuk meningkatkan hubungan dengan anak-anak menggunakan Teknik I L.O.V.E YOU.
Secara keseluruhan, program webinar Suri-Permai ini telah dijalankan dengan jayanya secara atas talian. Para peserta juga diundang untuk menghantar cerita pendek mengenai cabaran yang mereka hadapi serta cara penyelesaian yang digunakan berdasarkan kaedah yang telah dipelajari. Kisah-kisah ini akan dibukukan pada masa akan datang.
Modul-modul dalam program ini telah meraih anugerah Perak dan Gangsa di 2nd Asia Pacific Regional Development Community Summit (RDC Summit) pada November 2024, dengan tema “Empowering the Community through Women’s Mental Healthcare.”
Tahniah diucapkan kepada UiTM dan SRR, terutamanya kepada Pengarah Projek, Dr. Iman Ali dan Puan Nor Aini. Diharapkan kerjasama ini akan terus berkembang dan memberi manfaat yang lebih besar kepada suri rumah dan wanita amnya di masa hadapan.
0 Comments