Tanggal 8 Mac merupakan satu tarikh yang amat istimewa buat semua insan yang bergelar wanita. Saban tahun, pada tarikh tersebut, seluruh dunia akan meraikan dan mengiktiraf jasa mereka sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memilih KASIH Wanita sebagai tema sambutan untuk tahun 2023.

Akronim KASIH membawa konsep seperti kasih sayang (K), akhlak mulia (A), sihat dan selamat (S), ilmu (I) dan harmoni (H). Ianya selari dengan konsep MADANI yang dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.

Tema KASIH telah dipilih untuk menghargai wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, sering mengekalkan akhlak mulia, memastikan kesihatan juga keselamatan diri dan keluarga, sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu serta memelihara keharmonian sekeliling.

Memetik kata-kata sasterawan ulung Buya Hamka,
“Wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara. Mereka adalah tiang; dan biasanya tiang rumah tidaklah begitu kelihatan. Tetapi kalau rumah sudah condong periksalah tiangnya. Tandanya tianglah yang lapuk.”

Kata-kata Buya Hamka ini ada benarnya. Terdapat satu golongan wanita yang boleh diibaratkan seperti pahlawan yang tidak didendang, iaitu wanita yang ‘tidak bekerja’ atau lebih dikenali sebagai suri rumah.

Golongan wanita yang memilih untuk berkhidmat secara sepenuh masa di rumah juga merupakan antara kelompok penting dalam usaha menterjemah konsep KASIH yang telah digariskan seperti diatas.

Kesejahteraan negara amat bergantung kepada penglibatan dan sokongan para wanita. Berikutan peri pentingnya peranan wanita dalam mengurus keluarga, mahupun membangun negara, kebajikan mereka harus sentiasa diperhatikan dan tidak dipandang enteng. Kebajikan ini bukan semata-mata dalam bentuk bantuan kewangan tetapi juga dalam bentuk pembangunan diri.

Dewasa ini, fenomena wanita yang berpendidikan tinggi tetapi memilih untuk melepaskan kerjaya dan memilih menjadi suri rumah semakin meningkat. Hal ini melibatkan faktor kelemahan khidmat penjagaan anak-anak, gaji yang tidak setimpal dengan kos komitmen setiap bulan serta kesukaran untuk menyeimbangkan tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah.
Kebanyakan suri rumah dari golongan M40 dan T20 yang rata-ratanya berpendidikan tinggi ini lebih memerlukan sokongan dari aspek pembangunan diri. Apabila menjadi suri rumah, yang klien utamanya adalah anak-anak, golongan wanita ini seakan terlupa akan aspek pembangunan diri mereka sendiri.

Bagi menzahirkan konsep KASIH, golongan suri rumah perlu diberdayakan melalui pembangunan diri yang bersifat holistik dengan merangkumi pembangunan diri suri itu sendiri, suri dan keluarga, serta suri dan masyarakat.

Perkara inilah yang diperjuangkan oleh SRR selaras dengan misi dan visi untuk memberdayakan suri rumah muda di Malaysia melalui model solusi, Model Pembangunan Suri (MPS).

Pembangunan diri suri merangkumi pengisian yang diberikan supaya suri cakna tentang emosi diri sendiri dan mengetahui bagaimana untuk mengurusnya. Bagi pembangunan suri dan keluarga pula ditekankan tentang aspek komunikasi dengan pasangan dan anak-anak, termasuk juga cara menguruskan masa serta kewangan. Sementara itu, untuk pembangunan suri dan masyarakat, suri diberi ruang untuk menyumbang kepada masyarakat dengan bantuan sokongan yang bersesuaian seperti khidmat penjagaan anak-anak dan kewangan.

Adalah penting untuk memberikan ilmu yang bersesuaian terkait dengan tanggungjawab sebagai suri rumah bagi memastikan golongan ini sentiasa sejahtera dari sudut emosi dan mental. Akhirnya, lahirlah suri rumah yang bukan sahaja mampu menghadapi cabaran sehari-hari dalam mengurus keluarga dan anak-anak, malah turut dapat memberi khidmat kepada masyarakat.

Pn. Rose Jazimah Abdul Jalil
Pengerusi
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia