Suara, Cerita, dan Data Suri Rumah Kini Dibukukan Sebagai Rujukan Rasmi
Mengangkat Suara Suri Rumah ke Pentas Nasional
Kalau ditanya mengapa saya memilih untuk menyambung pengajian peringkat PhD, mungkin jawapannya ada banyak.
Tetapi jika ditanya bagaimana saya mampu sampai ke tahap ini, jawapannya hanya satu:
Kerana Allah yang mengizinkan
Tanpa izin Allah, tiada satu pun langkah ini dapat terjadi.
Sebenarnya, tidak ramai yang menyangka bahawa ada penyelidikan dijalankan tentang suri rumah berpendidikan tinggi. Malah, ketika sesi proposal defence dahulu, ada penilai yang sempat bertanya penuh keraguan:
“Mana ada wanita berpendidikan tinggi yang mahu memilih untuk menjadi suri rumah?”
“Pasti ke kamu mampu jalankan kajian ini?”
Namun apabila Allah sudah membuka jalan, siapalah kita untuk menolaknya?
Dari situlah bermulanya sebuah perjalanan penyelidikan, yang akhirnya menemukan saya dengan rakan-rakan suri di Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR). Bersama-sama, kami meneruskan kajian lanjutan dengan lebih mendalam.
Hasil kolaborasi bermakna bersama Khazanah Research Institute (KRI), lahirlah sebuah karya bersejarah
BUKU PANDUAN ISTIMEWA SURI RUMAH MALAYSIA
Yang lebih istimewa, saya sendiri berpeluang terlibat secara langsung dalam penghasilan buku ini. Seolah-olah Allah merealisasikan impian lama saya untuk menghasilkan sebuah manual book khusus buat suri rumah.
Setiap suara, setiap cerita, dan setiap data tentang suri rumah dihimpunkan dengan penuh kasih, hormat, dan penghargaan.
Daripada buku inilah tercetusnya perjalanan menuju KONSURI 2025 — sebuah konvensyen yang bukan sekadar menghimpunkan suri rumah dari seluruh negara, tetapi juga mengangkat suara hati mereka ke pentas nasional.
Jika sebelum ini suara suri rumah hanya bergema di dapur dan ruang tamu, kini ia bakal dibentangkan di pentas persidangan.
Jika sebelum ini ia hanya berbisik dalam hati, kini ia ditulis, diiktiraf, dan dijadikan rujukan rasmi melalui Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia.
Lebih penting lagi, hasil kajian ini turut direkodkan dalam laporan rasmi KRI, yang kemudiannya dipanjangkan kepada pihak pembuat dasar negara.
Harapan kami jelas — agar peranan suri rumah diiktiraf seadilnya, bukan sekadar sebagai penjaga keluarga, tetapi sebagai pemangkin kepada ekonomi negara.
Sejarah telah tercipta melalui Persidangan Suri Rumah Kebangsaan pada tahun 2023. Tahun ini, KONSURI 2025 hadir dengan suara yang lebih kukuh, lebih rasmi, dan lebih berimpak.
Dan semua ini, hanya terjadi kerana Allah yang mengizinkan.
Kerana apabila Allah membuka jalan, tiada apa pun yang mustahil.
Jumpa di KONSURI 2025.
Dengan izin penulis
Ila Nursalida Ali Amran
Penyelaran Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia