Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Dari Konflik ke Kepimpinan: Bagaimana Modul MPS Mengubah Definisi ‘Suri’ Dalam Diri Saya

Mungkin ramai yang melihat penglibatan saya dalam Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) hari ini—daripada seorang peserta sehingga diamanahkan sebagai Pengarah Program kecil dan besar — sebagai satu pencapaian kerjaya sosial. Namun, jujurnya, perjalanan ini tidak bermula di atas pentas program, tetapi ia bermula dari titik paling sunyi dalam rumahtangga saya.

Sembuh Sebelum Melangkah

Sebelum saya mengenali, terlibat seterusnya menggerakkan Modul Pemberdayaan Suri (MPS) untuk suri lain, saya terlebih dahulu harus mengakui bahawa saya juga “sakit”.

Ada isu-isu dalaman rumahtangga yang membebankan bahu dan fikiran. Langkah pertama saya bukanlah terus aktif dalam persatuan, tetapi mencari bantuan. Melalui sokongan kaunseling dan ahli terapi, saya mula membedah satu persatu emosi dengan membincangkan isu rumahtangga, lalu mengenali semua potensi yang terkubur. Paling dirasakan berharga, adalah menerima segala kekurangan diri.

Inilah mesej penting yang saya ingin sampaikan kepada rakan-rakan suri rumah iaitu pemberdayaan bermula dengan penyembuhan. Kita tidak boleh menuang air dari cawan yang retak. Selepas isu dalaman mula menemui titik damai, barulah saya mempunyai “ruang udara” untuk terlibat lebih aktif dan menggunakan sepenuhnya peluang yang saya nampak di dalam SRR sebagai wadah pemberdayaan.

Titik damai yang dimaksudkan adalah mudah bersyukur dan meraikan perkara kecil, boleh mengenalpasti keperluan sebenar diri dan mudah mengamalkan komunikasi efektif agar lebih effisien menyampaikan sebarang kehendak serta keperluan dari orang-orang sekeliling. Malah, kerenah-kerenah yang menjadikan kehidupan ini lebih meriah, mampu disambut dengan baik namun masih meletakkan diri sendiri sebagai keutamaan.

MPS ditakdirkan tepat pada masanya. Ia bukan sekadar aktiviti tetapi transformasi.

Modul MPS hadir bukan sebagai bebanan aktiviti tambahan, tetapi sebagai wadah praktikal untuk menguji kekuatan kendiri dan emosi yang terbina.

Tawaran menjadi peserta program Kenali Diri Tingkatkan Potensi Suri (TiPS) salah satu modul di bawah MPS yang diadakan di Shah Alam, Oktober 2022 menjadi titik permulaan saya mengorak langkah. Seterusnya menjadi pengarah TiPS pada 2023 di beberapa lokasi, sehinggalah satu persatu posisi penggerak program saya cuba laksanakan sebaik mungkin, baik di dalam mahupun di luar SRR.

Melalui MPS saya berlatih dan menilai keutamaan, iaitu ketika hati mahukan sesuatu dari luar, ada elemen rumahtangga yang perlu dikukuhkan sedikit demi sedikit. Menjaga kebajikan asas secara berkualiti, membina persekitaran tempat tinggal yang juga mengutamakan keperluan peribadi diri, suami dan anak-anak dapat dipenuhi seoptima mungkin.

Latihan berperingkat– saya bermula sebagai peserta yang hanya mendengar, kemudian menjadi jawatankuasa kecil, sehinggalah diberi kepercayaan menjadi pengarah program. Setiap fasa ini membina semula kemahiran mengurus dan keyakinan diri.

Keterampilan & keyakinan – modul ini melatih saya bahawa seorang suri rumah juga punya nilai kepimpinan yang tinggi. Jika kita boleh menguruskan sebuah rumahtangga yang kompleks, kita pasti boleh menguruskan sebuah program komuniti.

Pengurusan tekanan – melalui MPS, saya belajar bahawa “pemerkasaan” bermaksud mempunyai toolset mental yang betul untuk berdepan dengan tekanan seharian.

Pesanan Untuk Rakan Suri yang Masih Bergelut

Jika hari ini suri merasa lemas dalam rutin dan konflik, ketahuilah bahawa anda tidak perlu terus menjadi “superwoman” di mana sahaja. Fokus utama pemberdayaan adalah untuk membantu anda menguruskan diri dan emosi di rumah dengan lebih baik.

Aktif dalam persatuan bukanlah tiket untuk lari dari masalah, tetapi ia adalah medan untuk kita “recharge” dan menimba ilmu agar kita pulang ke rumah sebagai versi diri yang lebih kuat, tenang, dan berdaya.

MPS telah membuktikan kepada saya – apabila seorang suri rumah menemui semula kekuatannya, seluruh ekosistem keluarganya akan turut berubah.

Selamat menyambut kehadiran bulan Ramadhan yang mulia kepada semua ahli Persatuan,  selamat melalui perjalanan yang panjang dan menemui potensi serta mengenal fitrah suri.

Picture of Nur Hamizah binti Basri
Nur Hamizah binti Basri

Ketua Unit Program 2023-24,
Pengarah TiPS Cyberjaya 2022 & Seri Iskandar 2023,
Pengarah KONSURI 2023,
Jurulatih MPS.

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia