Tahun baru 2025 membuka tirai dengan perbincangan hangat tentang peranan suri rumah dalam masyarakat moden. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, suri rumah bermaksud isteri yang menguruskan hal rumah tangga atau wanita yang menjaga keluarga sepenuh masa tanpa bekerja di luar rumah.
Namun, adakah kita benar-benar menghargai nilai dan sumbangan suri rumah? Dalam dunia yang serba mencabar ini, tugas mereka melangkaui rutin harian. Suri rumah adalah tunjang yang memastikan kelangsungan keluarga berjalan lancar. Tetapi, mengapa masih ada yang memandang rendah peranan ini, malah mengaitkan suri rumah dengan kemiskinan? Adalah tidak wajar apabila suri rumah dituduh sedemikian.
Cabaran dan Realiti Suri Rumah
Sebagai suri rumah sepenuh masa selama 10 tahun, saya sendiri telah melalui pelbagai cabaran. Dalam tempoh ini, saya diberi peluang membesarkan anak-anak di depan mata. Ia satu pengalaman yang tidak ternilai. Namun, tugas ini juga menuntut pengorbanan besar daripada seorang suri rumah, lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita.
Dalam era moden dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, peranan suri rumah lebih daripada sekadar menjaga rumah. Mereka menjadi pengurus keluarga, menyusun perbelanjaan, dan memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik. Semua ini dilakukan tanpa gaji atau cuti, tetapi memberi impak besar kepada kestabilan keluarga.
Namun, masih ada yang mengaitkan suri rumah dengan kemiskinan. Artikel yang mendakwa wanita tidak bekerja menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan mencerminkan pandangan sempit sesetengah ahli masyarakat.

Kemiskinan: Isu Tanggungjawab dan Pengurusan
Kemiskinan bukanlah soal wanita bekerja atau menjadi suri rumah. Sebaliknya, ia lebih berkait rapat dengan tanggungjawab dan pengurusan kewangan. Dalam Islam, tanggungjawab menyediakan nafkah adalah amanah suami. Sama ada isteri bekerja atau tidak, suami tetap bertanggungjawab memastikan keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal mencukupi.
Ada situasi di mana isteri terpaksa keluar bekerja kerana perlu menanggung beban kewangan keluarga kerana suami gagal menunaikan tanggungjawab. Sebaliknya, ada juga keluarga di mana hanya suami sahaja bekerja tetapi masih dapat hidup dengan selesa kerana bijak mengurus perbelanjaan diri dan keluarga. Hal ini membuktikan bahawa isu kemiskinan bukanlah semata-mata kerana status pekerjaan seorang isteri, tetapi menjurus kepada sikap, tanggungjawab, dan cara pengurusan kewangan keluarga itu sendiri.
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia: Kumpulan Sokongan untuk Suri Rumah
Dalam usaha menyokong suri rumah, kewujudan Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SSR) adalah satu inisiatif yang penting. SRR ditubuhkan sebagai platform untuk memperkasakan suri rumah melalui pelbagai program latihan, pendidikan menerusi kerjasama dengan pelbagai jaringan sokongan. Persatuan ini memahami bahawa suri rumah sering kali menghadapi cabaran emosi, kewangan dan stigma masyarakat. Oleh itu, SRR menyediakan ruang pemberdayaan bagi suri rumah melalui perkongsian pengalaman, mendapatkan sokongan serta mempelajari kemahiran baharu.
Antara inisiatif utama ialah SRR membentuk Model Pembangunan Suri (MPS) untuk memberdaya suri dan juga yang terbaru Modul Kepimpinan Suri (MKS), program latihan yang memberi fokus kepada pembangunan diri dan kemahiran kepimpinan. Program ini membuka peluang kepada suri rumah untuk menambah keyakinan, memahami peranan mereka dengan lebih mendalam dan melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.
Selain itu, SRR juga bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memperkenalkan skim perlindungan sosial seperti caruman i-Suri (KWSP) dan juga Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR PERKESO). Skim seperti ini bukan sahaja memberi jaminan kewangan kepada suri rumah pada masa depan, tetapi juga merupakan langkah besar dalam usaha memberi pengiktirafan formal kepada peranan mereka dalam masyarakat.
Persatuan ini turut menganjurkan bengkel keusahawanan yang bertujuan untuk memberi peluang kepada suri rumah belajar menjana pendapatan dari rumah. Dengan pelbagai kemahiran seperti pemasaran digital, pembuatan produk makanan atau kraf tangan, suri rumah kini boleh menyumbang kepada ekonomi keluarga, dalam masa yang sama memenuhi tanggungjawab utama mereka.
Tambahan pula, SRR turut menganjurkan program Konvensyen Suri Rumah (KONSURI) yang diadakan setiap dua tahun. Program ini berfungsi sebagai medium untuk menghimpunkan suri rumah dari pelbagai latar belakang di seluruh Malaysia, sambil menyediakan pengisian ilmu yang bermanfaat kepada para peserta. Melalui inisiatif ini, mereka boleh membina jaringan persahabatan, berkongsi pengalaman dan mendapatkan sokongan moral bahkan menambah keyakinan diri. Sokongan sebegini penting untuk mengurangkan rasa terasing yang mungkin dialami oleh sesetengah suri rumah.
Mengubah Persepsi Masyarakat
Memasuki tahun 2025, sudah tiba masanya kita mengubah persepsi negatif terhadap suri rumah dengan segera. Masyarakat mesti sedar bahawa setiap wanita berhak menentukan peranan mereka sendiri—sama ada sebagai pekerja atau suri rumah—tanpa prejudis atau penghakiman. Langkah ini penting untuk memastikan penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya diberikan kepada semua pilihan hidup wanita.
Kempen kesedaran tentang pentingnya peranan suri rumah perlu diperluaskan. Media juga harus memainkan peranan dengan menampilkan kisah-kisah inspirasi suri rumah yang berjaya membina keluarga yang bahagia dan sejahtera.
Sokongan moral daripada keluarga, terutamanya suami, juga amat penting. Suami perlu menghargai pengorbanan isteri dan memastikan mereka merasa dihargai. Sebagai isteri, saya amat bersyukur mempunyai suami yang memahami keputusan saya untuk menjadi suri rumah. Walaupun kami tidak sempurna, kami saling melengkapi demi kebaikan keluarga.
Kesimpulan: Meraikan Suri Rumah pada Tahun 2025
Tahun ini, mari kita bersama-sama menghargai dan meraikan peranan suri rumah dengan perspektif baharu. Mereka adalah tulang belakang keluarga, ejen perubahan dan penggerak kepada masa depan yang lebih cerah.
Kewujudan kumpulan sokongan seperti SRR adalah bukti bahawa peranan suri rumah semakin diiktiraf. Dengan sokongan yang tepat, suri rumah boleh menjadi lebih berketerampilan sekali gus berupaya memberi sumbangan bukan sahaja kepada keluarga malah bersama membangun masyarakat.
Kepada semua wanita di luar sana, yakinlah dengan pilihan anda. Sama ada anda bekerja atau menjadi suri rumah, setiap peranan yang anda galas amat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih baik. Buat para suami, sokongan dan penghargaan anda adalah hadiah paling berharga untuk keluarga.
Penulis: Khairiyatun Najihah Norazmi
Aktivis, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia
0 Comments