Kenangan kejayaan pelaksanaan FGD Online bertemakan Ekonomi Penjagaan: Memperkasa Suri Rumah, Membina Keluarga dan Masyarakat Sejahtera pada 24 dan 25 Februari 2025. Penganjuran julung kali oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) dengan kerjasama Khazanah Research Institute (KRI) telah memberi satu gambaran betapa pentingnya peranan, suara dan penglibatan suri rumah dalam pembangunan ekonomi negara.
Persiapan pelaksanaan FGD ini telah berlangsung lebih dua bulan lalu bermula daripada menyiapkan kertas kerja, mendapatkan rakan kolaborasi, proses memilih jawatankuasa, melantik mentor dan panel pakar, membina soalan, memilih responden sehinggalah kepada pemilihan kaedah teknikal yang bersesuaian. Sesungguhnya, setiap proses itu merupakan perjalanan pengetahuan yang sangat berharga.
Program telah berlangsung dengan penuh semangat ini telah menghimpunkan lebih 50 orang suri rumah dari seluruh negara sebagai tenaga penggerak dan juga responden. Penglibatan panel pakar dan wakil rakan kolaborasi daripada KRI merupakan satu inisiatif positif untuk berbincang mengenai pentingnya peranan suri rumah kepada sektor penjagaan dalam memperkasakan ekonomi keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Projek FGD dan Penerbitan Buku ini telah diselia oleh Dr Wardah binti Mustafa Din, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Citra, UKM. Selaku penyelia projek, Dr Wardah banyak memberi sokongan, tunjuk ajar dan nasihat demi kejayaan FGD ini.
Tujuan utama FGD ini adalah untuk menyediakan platform bagi para suri rumah berkongsi pandangan dan cadangan dalam usaha meningkatkan pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam ekonomi penjagaan.
Membuka tirai di hari pertama ialah segmen kesihatan dan pendidikan.
Dua segmen yang cukup penting dalam perkembangan dan pembangunan diri suri.
Moderator segmen kesihatan, Puan Shareena Zulkepli dibantu oleh juru lapor iaitu Puan Nurain Shamsudin telah berjaya menyelami beberapa cabaran dan perjuangan para suri rumah dalam menjalankan rutin disamping bergelut dengan masalah kesihatan sendiri. Panel pakar yang terlibat iaitu Dr Nurhafidah binti Ishak merupakan pensyarah perubatan UPM telah bertindak sebagai pemerhati segmen berkenaan.
Manakala segmen pendidikan pula diacarakan oleh Puan Ila Nursalida binti Ali Amran dan dibantu oleh Puan Sobihah binti Abdullah sebagai juru lapor. Pelbagai cadangan bernas dan inisiatif yang para suri suarakan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar suri kekal releven dalam arus perkembangan kemajuan terkini. Dr Zilal binti Saari, pensyarah kanan UTM merupakan panel pakar segmen ini bertindak selalu pemerhati.
Perbincangan diteruskan pada hari ke dua dengan segmen sosial dan ekonomi.
Dalam segmen sosial Puan Siti Suzilah binti Saini selaku moderator dibantu oleh juru lapor Dr Intan Melati binti Che Hasan telah berjaya mendekati suri rumah yang sering merasa sunyi dan rendah diri kerana stigma masyarakat menyebabkan perubahan kepada diri iaitu daripada seorang extrovert kepada introvert. Panel pakar yang bertindak sebagai pemerhati ialah Dr Juliana Rosmidah binti Jaafar, pensyarah IUKL.
Manakala segmen ekonomi pula Puan Nurul Asyikin binti Ngadiso bertindak selaku moderator dibantu oleh juru lapor, Dr Wan Hamdah Wan Ahmad. Sesi berjalan dengan lancar dan harmoni. Setiap responden aktif memberi pendapat dan menyuarakan cadangan. Panel pakar segmen ekonomi ini ialah Puan Puteri Marjan dari KRI.
Kejayaan pelaksanaan FGD yang melibatkan kerjasama antara pihak kerajaan, sektor swasta dan masyarakat memberi gambaran jelas tentang bagaimana sektor ekonomi penjagaan dapat menjadi pendorong penting kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap agar hasil perbincangan ini dapat memberi kesan positif dalam memperkasa golongan suri rumah di negara kita.
Semoga dengan usaha ini, kita dapat terus membina keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang lebih berdaya saing dimasa hadapan.
