PENDAFTARAN DITUTUP

Laporan KONSURI 2025: Memperkasa Pemberdayaan Suri Lestari

14 September 2025 | The Everly, Putrajaya & Dalam Talian

Latar Belakang

Sejak tahun 2018, Konvensyen Suri Rumah Kebangsaan (KONSURI) telah menjadi platform utama Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) dalam menghimpun suri rumah dari pelbagai pelosok negara. Di situ, ilmu dikongsi, jaringan didekatkan dan peranan suri rumah diangkat tonggak kebaikan dalam masyarakat. Tahun ini, edisi ke-4 membawa tema “Memperkasa Pemberdayaan Suri Lestari“, satu tema yang sangat relevan bagi suri rumah moden yang menghadapi cabaran sosio-ekonomi, kesihatan dan tekanan emosi.

Statistik & Potensi Suri Rumah SRR

  • Anggota aktif SRR kini berjumlah 1,025 orang
  • Kira-kira 88% ahli mempunyai pendidikan tinggi (Diploma hingga PhD)
  • Lebih kurang 30% daripada ahli juga aktif sebagai aktivis komuniti, menyumbang masa dan tenaga dalam program pembangunan sosial dan keluarga.

Objektif KONSURI 2025

Program ini bertujuan:

  1. Memberi ruang perkongsian ilmu bersama pakar dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi, sosial & agama.
  2. Menyokong kesejahteraan mental suri rumah melalui sokongan sosial dan interaksi komuniti.
  3. Mengiktiraf jasa suri rumah dengan memberi motivasi dan pengiktirafan atas sumbangan mereka.
  4. Memperkasa suri rumah agar mempunyai kemahiran dan berketerampilan dalam pengurusan program berskala nasional.

Sorotan Program Sepanjang Hari

Majlis dimulakan dengan ucapan penuh semangat daripada Presiden SRR, Puan Rose Jazimah Abdul Jalil, yang mengajak semua suri rumah agar terus melihat diri sebagai agen perubahan dalam keluarga dan komuniti. Seterusnya, Puan Norismahida Ismail berkongsi visi KONSURI 2025 serta harapan agar setiap peserta pulang dengan semangat baru dan ilmu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian.

Ketibaan YBhg. Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail, yang merasmikan konvensyen dan melancarkan Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia, menjadi satu detik bermakna. Buku ini diharapkan akan menjadi panduan rujuan untuk suri rumah di seluruh negara, membantu mereka merancang aktiviti keluarga, kesejahteraan diri dan usaha komuniti.

Pada sesi pagi segmen Bual Bicara Pakar X Suri membincangakan aspek pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi, memaparkan cabaran dan peluang dalam realiti suri rumah masa kini. Manakala pada sesi petang telang berlangsung forum yang penuh ilmu menyaksikan tokoh seperti Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Syaari Ab. Rahman & Dr. Atiyah Azmi membawa wacana yang bukan saja memperkaya minda, malah menyentuh hati peserta dengan harapan dan inspirasi.

Impak & Kesimpulan

KONSURI 2025 telah berjaya menjadi ruang di mana suri rumah bukan sahaja didengar, tetapi diinspirasikan. Belajar bahawa ilmu, jaringan komuniti dan sokongan emosi adalah kunci untuk membina keluarga sejahtera dan masyarakat yang lebih peka serta berdaya tahan.

Semoga apa yang dibawa di KONSURI 2025 menjadi titik tolak buat setiap suri rumah untuk terus memperkasakan diri, menjalin hubungan bermakna dan menyumbang dalam kapasiti masing-masing.

Konvensyen Suri 2025: Persidangan Suri Rumah Kebangsaan

Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

© 2025 Dibangunkan oleh Matahati VA