Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, saya Wan Khadijah Wan Muda, Setiausaha Agung Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu yang mempunyai anak-anak yang menerima keputusan SPM baru-baru ini khususnya kepada para ibu yang bergelar suri rumah.
Sesungguhnya, di sebalik setiap kejayaan seorang anak, pasti ada doa seorang ibu yang tidak pernah putus. Kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan tanpa mengenal penat lelah dalam mendidik serta membimbing anak-anak menghadapi SPM adalah satu amanah besar yang telah ditunaikan dengan penuh keikhlasan. Setiap pengorbanan masa, tenaga dan emosi walaupun kadang-kadang tidak terlihat amat besar nilainya di sisi Allah SWT.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada anak-anak yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Kejayaan ini bukan sahaja milik anda, bahkan turut menjadi hadiah istimewa buat ibu yang sentiasa berada di belakang, menyokong dan mendoakan tanpa henti. Moga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh dalam menuntut ilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Buat anak-anak yang mungkin belum mencapai keputusan seperti yang diharapkan, ketahuilah bahawa perjalanan hidup ini masih panjang. Jangan sekali-kali berputus asa. Kejayaan tidak hanya diukur pada satu keputusan peperiksaan, tetapi pada kesungguhan untuk terus berusaha, memperbaiki diri dan bangkit daripada cabaran. Setiap usaha yang ikhlas pasti akan membuahkan hasil pada waktu yang terbaik menurut perancangan Allah. Ingatlah, kegagalan bukanlah pengakhiran, tetapi adalah satu titik permulaan untuk membina kekuatan dan mencapai kejayaan yang lebih bermakna.
Buat para ibu, teruskanlah menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada anak-anak. Doa seorang ibu adalah senjata yang paling ampuh. Teruskan menyemai nilai-nilai murni, membimbing dengan kasih sayang dan mendidik dengan hikmah agar anak-anak membesar sebagai generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga baik akhlaknya.
Semoga Allah SWT memberkati segala pengorbanan ibu-ibu, mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda serta mempermudahkan setiap urusan anak-anak dalam meniti perjalanan kehidupan. Semoga mereka terus menjadi generasi yang berilmu, beriman, berakhlak mulia dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Tahniah dan syabas buat semua anak-anak SPM 2025!
Tahniah dan syabas buat semua anak-anak SPM 2025!
Wan Khadijah Wan Muda
Setiausaha Agung
Persatuan Suri Rumah Rahmah Sesi 2026-2027