Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Realiti Suri Rumah Masa Kini

Hari ini saya ke kampus, berjumpa penyelia untuk menyemak draf tesis yang hampir sempurna.

Satu ayat yang saya tulis telah membuatkan pembacaan beliau terhenti. “Suri rumah dianggap kolot dan berfikiran sempit …”

Beliau memandang saya, “Penyataan ni rujukan tahun 60-an dah lama sangat. Yang terkini tak ada?”

Saya menjawab dengan jujur. Kebanyakan rujukan yang mengkritik suri rumah datang dari tahun 60-an, 70-an. Memang pada masa itu banyak label negatif dilemparkan terhadap suri rumah.

Tetapi sekarang sudah lain keadaanya. Suri rumah zaman sekarang sudah jauh berubah. Dapatan kajian-kajian pun ada banyak merakamkan sisi positif suri rumah lebih-lebih lagi yang berpendidikan tinggi.

Dapatan terkini tidak banyak yang menyebut sisi suri rumah yang negatif. Kalau ada pun cuma merekodkan cabaran menjadi suri rumah dari segi kepuasan hidup, kualiti kehidupan, kebahagiaan dan sebagainya.

Suri rumah masa kini duduk di rumah bukan sebab tidak ada pilihan. Ramai suri rumah yang memilih dengan sedar untuk berada di rumah demi anak-anak, suami, keluarga dan juga diri sendiri.

Ramai  suri rumah sekarang yang ada ijazah, malah ada pengalaman kerja bertahun-tahun. Tapi mereka memilih jalan ini dengan hati yang tenang. Bukan sebab lemah. Bukan sebab malas. Tapi sebab tahu, inilah cara mereka rasa paling bermakna.

Baru-baru ini ada pula yang mengatakan suri rumah tidak berkembang, malah berfikiran sempit sebab tidak bekerja.

Saya hanya tersenyum. Dalam hati saya berkata, ‘Awak yang bertanya ni dari zaman bila ya?’

Sekarang ini semua di hujung jari. Ramai suri rumah yang aktif cari ilmu, bina bisnes dari rumah, bantu komuniti, tulis buku, sambung belajar dan buat macam-macam semuanya tanpa tinggalkan rumah.

Walaupun duduk rumah, tidak bermakna otak berhenti berfikir atau hati berhenti belajar. Suri rumah bukan tanda lemah. Wanita bekerja bukan sebab gagah. Dua-dua punya kekuatan tersendiri.

Tidak perlu banding siapa lebih siapa kurang. Hidup ini bukan pertandingan. Kita semua ada jalan berbeza, impian berbeza, keutamaan berbeza.

Yang penting, kita saling hormat-menghormati. Sebab bila kita mula saling menyokong, dunia wanita akan jadi lebih kuat dan indah.

Berhentilah melaga-lagakan suri rumah dengan wanita bekerjaya. Kami baik-baik sahaja berganding bahu, saling membantu, saling memerlu.

Picture of Ila Nursalida Ali Amran
Ila Nursalida Ali Amran

Timbalan Pengerusi Persatuan Suri Rumah Rahmah (2022/23)

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia