Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Selamat Hari Pekerja: Mengangkat Martabat Suri Rumah

Alhamdulillah, pada hari yang penuh bermakna ini, saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua golongan pekerja di seluruh negara.

Secara khususnya, saya ingin mengangkat penghargaan kepada para suri rumah yang juga merupakan tulang belakang institusi keluarga dan masyarakat. Walaupun tugas-tugas suri rumah sering kali tidak dikira dalam statistik rasmi pekerjaan, namun sumbangan mereka sangat signifikan dalam membentuk generasi, menjaga keharmonian rumah tangga, serta menyokong ekonomi secara tidak langsung.

Kerja-kerja rumah tangga, penjagaan anak-anak, mendidik, dan mengurus emosi keluarga adalah tugas tanpa henti—tiada noktah, tiada cuti. Maka pada hari yang penuh simbolik ini, marilah kita sama-sama mengiktiraf bahawa suri rumah juga adalah individu yang bekerja dengan penuh kasih sayang dan dedikasi, walaupun tanpa imbuhan rasmi.

Kami di Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia akan terus memperjuangkan hak, kebajikan dan pengiktirafan kepada golongan suri rumah agar suara mereka lebih didengari dan dihargai dalam arus pembangunan negara.

Wanita bekerjaya di dalam sektor formal atau tidak formal adalah ibarat aur dengan tebing yang saling melengkapi antara satu sama lain. Masing-masing berkhidmat mengikut peranan di pelbagai sisi menjadikan masyarakat dapat berfungsi dengan baik. Usaha untuk membandingkan wanita-wanita ini; siapa yang paling stress, siapa yang paling berjasa, siapa yang paling hebat harus dihentikan. Sebaliknya, usaha untuk memperkukuh sinergi harus dipertingkat agar wanita mampu memainkan peranan membangunkan masyarakat yang sejahtera dan harmoni.

SRR sendiri telah membuktikan bagaimana dalam banyak program bermodul yang dilaksanakan, kedua-dua golongan wanita ini mampu berkerjasama erat untuk menjayakan program-program tersebut. Kami komited mengiktiraf sumbangan suri rumah kepada ekonomi negara dengan mencadangkan polisi kepada kerajaan bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara, setanding dengan wanita yang bekerja di sektor formal.

Tidak kira di mana anda bekerja; sama ada di pejabat, di ladang, di hospital, mahupun di rumah, anda semua adalah wira negara.

Selamat Hari Pekerja kepada semua!

Sekian, terima kasih!

Picture of Rose Jazimah Abd Jalil
Rose Jazimah Abd Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia