Tinjauan Ekonomi Penjagaan Suri Rumah: Terima Kasih dan Tahniah Semua!
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Dengan penuh rasa syukur, kami dari Unit Penyelidikan SRR dan MKS Penyelidikan 2025 ingin merakamkan ucapan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan Tinjauan Kajian Ekonomi Penjagaan: Memperkasa Suri Rumah, Membina Keluarga dan Masyarakat Sejahtera, khususnya kepada para responden.
Tinjauan yang telah berlangsung dari 16 Mei hingga 30 Jun 2025 ini merupakan sebahagian daripada sub-program dan gerak kerja dalam Projek FGD dan penerbitan buku panduan yang telah berlangsung sejak Disember 2024.
Menurut laporan tidak rasmi, seramai 806 responden telah melengkapkan tinjauan. Hal ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Daripada jumlah ini, 211 orang merupakan ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), manakala selebihnya iaitu 595 orang adalah bukan ahli.
Tinjauan ini telah mewakili suara pelbagai lapisan suri rumah di seluruh negara kerana berjaya mendapat penyertaan responden pelbagai etnik yang terdiri daripada bangsa Melayu, India, Cina, masyarakat Orang Asli dan peribumi Sabah dan Sarawak. Ini membuktikan bahawa isu ekonomi penjagaan merupakan isu nasional kerana merentas sempadan bangsa, budaya dan wilayah.
Setinggi-tinggi penghargaan khusus ditujukan kepada pihak Khazanah Research Institute (KRI), pasukan enumerator SRR yang diterajui oleh Dr. Wan Hamdah dan ahli jawatankuasa. Ketekunan, kesabaran dan komitmen yang diberikan menjadi nadi utama kepada kejayaan pelaksanaan tinjauan ini. Kita bukan sahaja sedang mengumpul data, tetapi sedang menulis sejarah baharu untuk suri rumah Malaysia.
Semoga usaha ini menjadi batu asas kepada dasar yang lebih inklusif, adil dan berjiwa rakyat dalam usaha mengiktiraf peranan suri rumah seiring pembinaan keluarga dan negara yang lebih sejahtera.
Terima kasih, dan tahniah sekali lagi.
Another achievement unlocked!
Rose Jazimah Abdul Jalil
Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia