Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Ucapan Timbalan Presiden SRR 2026

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, diam tak diam sudah menghampiri tiga bulan selesainya Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan SRR. Begitu pantas masa berlalu.

Sebagai Timbalan Presiden yang baru, saya sangat berbesar hati dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Amanah ini akan saya manfaatkan sebaiknya bagi meneruskan visi dan misi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan pimpinan yang baharu, serta terima kasih tidak terhingga kepada barisan pimpinan terdahulu atas segala sumbangan dan khidmat bakti.

Setiap langkah pertama tidak pernah mudah. Mengangkat kaki melangkah dan memikul amanah yang diberikan pastinya hadir bersama tanggungjawab yang besar. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh menjadi caca-merba.

Justeru, bagi memastikan perjalanan barisan kepimpinan baharu ini berjalan dengan lancar, Mesyuarat Rancangan Kerja Tahunan (RKT) bagi tempoh dua tahun pimpinan akan diadakan secara fizikal dan dalam talian pada 8 Februari akan datang.
Setiap unit di bawah SRR akan membentangkan kaedah pelaksanaan unit masing-masing, selain mencari titik pertemuan dan kesepaduan antara unit-unit yang terlibat.

Perancangan ini mungkin mengambil masa, namun diharapkan ia dapat memudahkan ahli-ahli SRR menikmati program-program yang dilaksanakan oleh aktivis SRR dengan lebih tersusun dan berkesan.

Pengorbanan yang dicurahkan pastinya bukan sedikit, namun insya-Allah berbaloi untuk dinikmati bersama. Sebagai Timbalan Presiden SRR, saya sangat berbesar hati dan berharap mesyuarat ini dapat mempermudahkan pengurusan barisan kepimpinan baharu dalam menuju KONSURI 2027.

Akhir kata, dengan rendah hati saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan dan Selamat Berpuasa buat seluruh ahli SRR. Moga kita semua direzekikan kesihatan yang baik untuk beribadah.

Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Picture of Shareena binti Zulkipeli
Shareena binti Zulkipeli

Timbalan Presiden Sesi 2026/27
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia