Waktu yang bergulir terus berjalan, tidak akan pernah menunggu kita walau untuk satu detak jantung. Oleh kerana itu, walaupun rutin sebagai seorang suri sering berlegar di ruang rumah, kita tidak seharusnya terperangkap dalam batasan yang mengelilingi diri kita. Sebaliknya, kita wajar terus memandang ke hadapan dan memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang bakal mendatang.
Namun begitu, melangkah ke hadapan tidak seharusnya membataskan kita daripada membuat refleksi terhadap hal-hal yang telah dilalui sepanjang 2025. Ibarat seseorang yang sedang memandu kereta, fokus pemanduan sememangnya pada kenderaan dan keadaan jalan raya di hadapan. Namun, sesekali ada keperluan untuk melirik cermin sisi mahupun cermin belakang agar perjalanan lebih terarah dan selamat hingga ke destinasi.
Refleksi terhadap tahun lalu seharusnya menjadi asas kepada langkah yang lebih tersusun ke hadapan. Tahun 2026 membuka ruang untuk suri menyusun semula azam. Bukan yang terlalu besar hingga melelahkan, tetapi cukup bermakna untuk memperbaiki kualiti diri, emosi dan peranan yang digalas setiap hari.
Nabi S.A.W. bersabda menerusi sepotong hadis,
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ ، الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Ada dua kenikmatan yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang”.
(HR. Bukhari no. 6412, daripada Ibnu ‘Abbas)
Berdasarkan hadis di atas, terdapat dua perkara yang boleh suri jadikan landasan dalam usaha untuk mencapai kehidupan yang lebih bermakna, iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang. Kedua-dua nikmat ini lazimnya kurang diambil perhatian, melainkan setelah luput daripada genggaman kita.
Umum mengetahui bahawa kesihatan adalah sesuatu yang amat penting untuk diberi perhatian. Sewaktu usia masih di peringkat awal dewasa dan tubuh badan terasa masih bertenaga, aspek penjagaan kesihatan sering dipandang sebelah mata. Hal ini termasuk menjaga kualiti pemakanan dan memperuntukkan masa khusus untuk melakukan senaman. Apabila usia semakin meningkat, barulah kesannya mula dirasai dan pada ketika inilah pelbagai masalah kesihatan mula muncul.
Oleh itu, marilah kita sebagai suri bersama-sama berusaha untuk memastikan sesempit mana pun waktu, peruntukkanlah sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal. Suri boleh bermula dengan aktiviti brisk walk di taman sekitar 20 hingga 30 minit sebagai permulaan. Aktiviti ini bukan sahaja boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, malah turut membantu mengawal tekanan darah serta mengurangkan risiko penyakit diabetes. Manfaatkanlah komuniti Suri Circle kawasan masing-masing agar setiap daripada kita lebih bersemangat untuk konsisten dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.
Selain itu, sebagai individu yang berperanan menyediakan makanan di rumah, suri boleh mengambil inisiatif mengurangkan kadar penggunaan gula dalam minuman dan masakan harian. Hal ini kerana pengambilan gula secara berlebihan akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan diabetes, termasuk paras kolesterol. Usaha ini selari dengan kempen ‘Perang Terhadap Gula’ (War on Sugar) yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula tahun 2024 yang lalu, demi membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.
Berdasarkan hadis yang sama, masa lapang juga merupakan nikmat yang sering disalah tafsir. Ramai yang beranggapan bahawa suri rumah memiliki banyak masa terluang, sedangkan hakikatnya waktu yang ada sering terpecah antara tanggungjawab keluarga, urusan rumah dan keperluan orang sekeliling. Justeru, masa lapang yang sebenar perlu diurus dengan lebih cermat agar tidak berlalu tanpa memberi nilai tambah kepada diri.
Mengimbau kembali pesanan YBhg. Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail, selaku perasmi Konvensyen Suri Rumah Kebangsaan (KONSURI) 2025 pada September lalu, beliau mengingatkan para suri agar tidak bertangguh dalam melakukan hal-hal kebaikan.
Menurut beliau,
“Kadang-kadang kita rasa kita ada banyak masa. Contohnya, nak solat dhuha. Kita fikir, tak apalah, sekejap lagi boleh solat. Tapi, bila bertangguh, akhirnya kita jadi tak sempat pula nak laksanakan perkara tersebut. Sebaiknya, bila terlintas sebarang perkara kebaikan, terus buat. Elakkan bertangguh.”
Pesanan ini mengingatkan kita bahawa setiap penangguhan kecil yang dibiasakan, lama-kelamaan boleh menjadi punca terlepasnya peluang untuk melakukan kebaikan yang lebih besar. Oleh itu, melangkah ke tahun 2026, suri boleh bermula dengan mendisiplinkan diri untuk menggunakan masa lapang dengan perkara yang bermanfaat. Sebagai contoh, mengisi rohani dan menambah ilmu menerusi program dalam talian yang dianjurkan oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), mahupun sekadar berehat dengan niat untuk memulihkan tenaga.
Pada akhirnya, menjadi seorang suri bukan sekadar tentang memenuhi tuntutan sebagai isteri dan ibu, tetapi juga menjaga amanah diri yang dikurniakan Allah S.W.T. Kesihatan dan masa lapang merupakan dua nikmat yang perlu disyukuri dan dimanfaatkan sebaiknya. Apabila kedua-duanya diurus secara berhemah, suri bukan sahaja mampu menjaga diri dengan lebih baik, malah turut bersedia untuk memberi yang terbaik kepada ahli keluarga dan masyarakat.
Semoga setiap langkah kecil yang diatur dalam mengharungi tahun 2026 ini diterima sebagai ibadah dan menjadi titik permulaan kepada pemberdayaan suri ke arah kualiti kehidupan yang lebih sejahtera.
Nur Hafizah Shaharom
Aktivis Persatuan Suri Rumah Rahmah