Program Kelah Suri yang dianjurkan sempena Kota Baca 2026 berjaya menonjolkan peranan signifikan suri rumah sebagai pemangkin kepada pembentukan budaya membaca dalam institusi keluarga serta pembangunan masyarakat berilmu. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Syahida Hassan Enterprise (SHE) dan Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SSR), dengan penyertaan di reruai No. 57 menjadi antara tarikan utama sepanjang penganjuran yang berlangsung selama empat hari, dari 23 hingga 26 April 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur serta secara dalam talian.
Penyertaan ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan Buku Panduan Suri Rumah Rahmah Malaysia kepada masyarakat, malah mengukuhkan jenama Kelah Suri sebagai identiti program rasmi SRR. Dalam tempoh tersebut, pelbagai aktiviti telah dirangka dan dilaksanakan dengan pendekatan santai, interaktif dan inklusif bagi mendekatkan budaya membaca kepada komuniti, khususnya dalam kalangan suri rumah dan keluarga.
Program dimulakan pada 23 April dengan perasmian Kelah Suri sebagai simbolik pembukaan kepada rangkaian aktiviti sepanjang Kota Baca. Pada hari yang sama, sesi siaran langsung santai bersama penulis suri rumah diadakan bagi berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada penonton. Hari kedua menyaksikan siaran langsung suasana Kota Baca yang turut mempromosikan Buku Panduan tersebut kepada khalayak lebih luas melalui platform digital.
Kemuncak penyertaan berlangsung pada 25 April menerusi penganjuran program fizikal Book Review & Swap yang berjaya menarik penyertaan aktif pengunjung serta menggalakkan perkongsian bahan bacaan. Aktiviti ini turut disokong dengan siaran langsung TikTok bagi memperluas capaian audiens. Pada hari terakhir, pelbagai aktiviti kreatif dianjurkan termasuk bengkel DIY penanda buku untuk kanak-kanak dan sesi journaling khas untuk wanita yang dikendalikan bersama novelis jemputan, Idora Darwina. Program diakhiri dengan sesi bual santai berkaitan kesedaran seksualiti yang dijalankan secara fizikal dan dalam talian, melengkapkan pengisian program yang menyentuh pelbagai aspek pembangunan diri dan keluarga.
Pelaksanaan Kelah Suri menggabungkan pendekatan fizikal dan digital secara serentak, selaras dengan keperluan semasa untuk memperluas capaian program. Aktiviti dijalankan secara langsung di hadapan reruai serta disokong melalui siaran langsung di platform TikTok. Konsep interaktif dan santai turut diketengahkan melalui susun atur ruang berinspirasikan piknik yang mesra keluarga, sekali gus mewujudkan suasana yang kondusif untuk pembelajaran tidak formal. Pengunjung bukan sahaja hadir sebagai pemerhati, malah terlibat secara aktif dalam aktiviti seperti ulasan buku, journaling dan aktiviti kreatif.
Keunikan program ini turut terserlah melalui penglibatan suri rumah sebagai petugas utama. Mereka diberi peluang mengendalikan program, mengurus peserta serta terlibat dalam operasi reruai, sekali gus meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi dan organisasi. Sokongan seperti token penghargaan, elaun makan dan penginapan turut disediakan bagi memastikan kelancaran penglibatan mereka. Kolaborasi bersama individu berpengaruh seperti Idora Darwina turut menambah nilai dan kredibiliti program secara keseluruhan.
Dari sudut impak, Kelah Suri mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan kepada SRR, termasuk peningkatan jumlah tontonan siaran langsung, interaksi pengguna di media sosial serta minat untuk menyertai komuniti tersebut. Kesedaran terhadap Buku Panduan Suri Rumah Rahmah dan peranan SRR dalam masyarakat juga menunjukkan peningkatan yang ketara. Dalam masa yang sama, program ini turut memberi manfaat langsung kepada keluarga, khususnya melalui penglibatan anak-anak dalam aktiviti yang bersifat edukatif, santai dan membina.
Sebagai sebahagian daripada Kota Baca 2026, yang merupakan acara peringkat nasional sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia dengan sasaran kehadiran antara 50,000 hingga 100,000 pengunjung, program ini turut menyumbang kepada usaha memperkukuh budaya literasi dalam masyarakat. Kota Baca menghimpunkan 88 reruai penerbit buku serta pelbagai aktiviti sampingan seperti Larian Buku 5 kilometer “Run for Reading”, persembahan teater, sesi pidato dan integrasi buku dengan teknologi kecerdasan buatan, selain pengenalan Passport Kota Baca sebagai galakan penyertaan aktif pengunjung.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Kelah Suri di Kota Baca 2026 membuktikan bahawa pendekatan komuniti yang kreatif dan inklusif mampu memperkukuh budaya membaca dari peringkat akar umbi. Kejayaan ini mengesahkan potensi Kelah Suri sebagai program beridentiti tinggi atau signature programme bagi SRR. Sehubungan itu, cadangan untuk memperluaskan Kelah Suri Tour ke seluruh negara dilihat sebagai langkah strategik bagi memberi peluang kepada lebih ramai suri rumah terlibat, sekali gus membina ekosistem komuniti yang aktif, berilmu dan saling menyokong.
Rose Jazimah Abdul Jalil
Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia