Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) terus memperkukuhkan agenda pemerkasaan komuniti suri rumah melalui jalinan kerjasama strategik bersama Ajinomoto Malaysia yang merangkumi pelaksanaan beberapa program berimpak tinggi sepanjang tahun 2025 hingga 2026.
Kerjasama ini dimulakan pada Disember 2025 menerusi sumbangan 30 set goodies bag oleh Ajinomoto Malaysia kepada peserta Program Modul Kepimpinan Suri (MKS) 2.0. Inisiatif ini menjadi simbol sokongan terhadap usaha SRR dalam melahirkan suri rumah yang berilmu, berkepimpinan dan berdaya saing.
Pada 29 Disember 2025, seramai 40 peserta yang terdiri daripada suri rumah dan ahli keluarga telah menyertai program lawatan ke Kilang Ajinomoto. Program ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai proses pengeluaran produk, lawatan ke galeri pameran serta pemahaman terhadap amalan kawalan kualiti dan keselamatan makanan yang diamalkan oleh pihak Ajinomoto Malaysia.
Siri kerjasama ini diteruskan lagi pada 23 Mei 2026 menerusi program “Suri Memasak Bersama Chef Arif”, yang merupakan inisiatif terbaharu serta program tumpuan dalam kolaborasi SRR bersama Ajinomoto Malaysia. Program ini melibatkan 20 orang peserta dan dimulakan dengan lawatan ke bahagian pengeluaran (production) serta galeri pameran bagi memberikan pendedahan menyeluruh mengenai proses serta inovasi produk.
Seterusnya, peserta mengikuti sesi kelas masakan yang menampilkan demonstrasi penyediaan hidangan secara praktikal. Antara menu yang diketengahkan ialah Nasi Serai, Rendang Udang, Daging Masak Hitam dan Jelatah Sayur. Program ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran memasak, pengayaan ilmu pemakanan serta pemerkasaan suri rumah dalam penyediaan hidangan keluarga yang lebih kreatif, seimbang dan berkualiti.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga program ini mencerminkan komitmen berterusan SRR dan Ajinomoto Malaysia dalam memperkukuhkan institusi keluarga melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan aktiviti pembangunan komuniti yang memberi impak positif kepada para peserta.
SRR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ajinomoto Malaysia atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan. SRR berharap kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan melalui lebih banyak program berimpak tinggi pada masa hadapan demi kesejahteraan suri rumah, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
Rose Jazimah Abdul Jalil
Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia