Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahirahmanirahim.
Yang saya hormati barisan kepimpinan SRR, rakan-rakan seperjuangan, dan seluruh wanita serta suri rumah yang saya kasihi.
Apabila kita menyebut tentang kemerdekaan, kita sering membayangkan sebuah negara yang bebas daripada penjajahan. Tetapi hari ini, saya ingin mengajak kita melihat kemerdekaan dari satu sudut yang mungkin lebih dekat dengan kehidupan kita.
Apakah erti merdeka buat seorang wanita yang bergelar suri rumah?
Pada pandangan saya, merdeka bagi seorang suri rumah bukan bermaksud kita mahu bebas daripada tanggungjawab. Sebaliknya, kita mahu bebas untuk memilih bagaimana kita mahu menjalani kehidupan kita.
Bebas untuk menjadi seorang ibu, tanpa kehilangan siapa diri kita. Kita urus keluarga, tetapi dalam masa yang sama masih mempunyai impian dan cita-cita.
Bebas untuk belajar, berkarya, berniaga, memimpin dan menyumbang, tanpa kita perlu rasa bersalah kerana mahu berkembang menjadi versi diri kita yang lebih baik dan menjadi suri rumah bukan bermaksud perjalanan kita sebagai seorang wanita telah berhenti.
Ada masanya, kita cuma sedang melalui satu fasa kehidupan yang memerlukan kita menanam dan menyiram sesuatu dengan sabar, walaupun hasilnya belum nampak. Kita mungkin tidak nampak hasilnya hari ini, tetapi setiap hari kita membesarkan anak-anak.
Kita membina rumah yang menjadi tempat keluarga pulang.
Kita menyokong pasangan.
Kita mendidik.
Kita menjaga.
Kita membentuk nilai dan karakter generasi yang akan datang.
Kerja yang mungkin tidak mempunyai slip gaji, tetapi mempunyai nilai yang tidak ternilai.
Namun dalam kita menjalankan semua peranan itu, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan semua suri rumah:
Jangan sampai kita terlalu sibuk membina kehidupan orang lain, sehingga kita lupa membina diri kita sendiri.
Kita juga berhak bertanya kepada diri; “Aku mahu menjadi wanita yang bagaimana?”
Dan jawapan kepada soalan itu tidak semestinya sama untuk setiap wanita. Ada yang memilih untuk fokus pada keluarga, berniaga dari rumah, menyambung pelajaran, memimpin organisasi, kembali bekerja, berkarya dan menyumbang kepada masyarakat.
Dan, ada juga yang memilih untuk memperlahankan langkah buat sementara waktu, saya nak bagitahu, “its okay suri..your life, your choices..always, listen to your body” semuanya adalah pilihan. Yang penting, pilihan itu lahir daripada kesedaran diri kita, bukan lahir dari takut dengan pandangan manusia.
Suri rumah yang merdeka bukanlah suri rumah yang perlu buktikan bahawa dirinya adalah lebih baik dan lebih hebat dari orang lain, tetapi suri rumah yang benar-benar kenal dirinya, dia tidak mengukur nilai dirinya dengan duit dan pandangan orang. Jika menjaga anak dan menguruskan rumah tangga adalah perkara yang kita pilih kerana kita tahu nilainya, maka kita berhak untuk berbangga dengan pilihan itu.
Dan jika suatu hari kita mahu belajar sesuatu yang baharu, mahu berniaga, mahu memimpin atau mahu membina sesuatu untuk diri kita sendiri, kita juga tidak seharusnya rasa bersalah. Kerana seorang wanita boleh mencintai keluarganya dan dalam masa yang sama tetap mempunyai impian untuk dirinya sendiri.
Itulah kemerdekaan yang saya harapkan untuk setiap wanita yang kita perjuangkan di dalam Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia.
Kita mahu melahirkan suri rumah yang bukan sekadar tahu menguruskan rumah, tetapi tahu menguruskan kehidupan.
Bukan sekadar membesarkan anak, tetapi membina generasi.
Bukan sekadar menyokong keluarga, tetapi tahu bahawa dirinya juga mempunyai nilai, potensi dan suara.
Dan sebagai sebuah gerakan yang membawa suara suri rumah, kita harus bersama-sama membina budaya di mana wanita tidak perlu lagi mengecilkan diri untuk memenuhi definisi orang lain tentang bagaimana seharusnya kehidupan kita. Tidak ada lagi skrip ulangan “suri rumah jer..”
Kita boleh memilih.
Kita boleh tumbuh.
Kita boleh belajar.
Kita boleh berubah.
Kita boleh bermula semula.
Akhir kata, saya berharap kemerdekaan yang kita sambut hari ini bukan hanya kemerdekaan sebuah negara yang kita wariskan kepada anak-anak kita. Tetapi kita juga mahu mewariskan kepada mereka contoh seorang wanita yang merdeka.
Wanita yang tahu siapa dirinya.
Wanita yang tahu nilai dirinya.
Wanita yang berani membuat pilihan.
Dan wanita yang tidak pernah takut untuk terus tumbuh menjadi versi dirinya yang lebih baik dan lebih hebat.
Kerana akhirnya, anak-anak kita bukan hanya akan belajar daripada apa yang kita kata, mereka akan belajar daripada bagaimana kita menjalani kehidupan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
Daripada seluruh keluarga besar Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia, marilah kita terus berdiri bersama, saling menguatkan dan saling memberdayakan.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Siti Nur Farhana Miskom
Presiden Sesi 2026/27
Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR)