مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Barang siapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.”(Riwayat Muslim, No. 1017)
Hadis di atas menunjukkan betapa mulianya seseorang yang memulakan sesuatu amalan yang baik. Sempena sambutan Hari Guru, kita boleh mengaitkan pengajaran daripada hadis ini dengan peranan penting yang dimainkan oleh para guru dalam masyarakat. Guru sering kali menjadi pelopor dalam membentuk budaya dan nilai murni dalam kalangan pelajar. Betapa mulianya guru, kerana melalui merekalah pelajar mengenal erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.
Hari Guru bukan sahaja menghargai guru yang mendidik di sekolah, tetapi juga mengangkat martabat ibu-ibu yang memainkan peranan sebagai guru utama di rumah. Peranan ibu sebagai guru pertama kepada anak-anak adalah sangat penting dalam membentuk generasi yang baik dan berilmu.
Seorang ibu adalah guru sepanjang hayat bagi anak-anaknya. Sejak lahirnya seorang anak, ibu sudah mula mendidik mereka dengan penuh kasih sayang. Proses pembelajaran seperti bercakap, berjalan, dan cenderung kepada akhlak yang baik dimulakan oleh ibu di rumah. Penanaman nilai-nilai murni ini adalah asas kepada pendidikan yang lebih formal di sekolah.
Dalam Islam, kedudukan seorang ibu sangat mulia dan istimewa. Rasulullah SAW mengangkat martabat ibu dengan penghormatan yang tinggi sebagaimana terkandung dalam sebuah hadis yang masyhur. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘’Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah SAW menjawab:
أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أُمُّكَ ثُمَّ أَبُوكَ
Maksudnya: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.”(Riwayat Muslim, No. 2548)
Dalam konteks pendidikan, hadis ini menunjukkan betapa penting dan mulianya tugas seorang ibu dalam mendidik anak-anak.
Peranan Ibu dalam Pembelajaran Seharian
- Pembentuk Akhlak:
Ibu adalah role model utama dalam membentuk akhlak dan sikap yang baik dalam diri anak-anak. Setiap tindak-tanduk seorang ibu, dari tutur kata hingga tingkah laku, menjadi contoh yang diikuti anak-anak. Ibu yang sentiasa menunjukkan kejujuran akan mengajarkan anak-anak untuk mengutamakan nilai etika yang tinggi dalam kehidupan mereka sendiri.
Bahasa dan cara komunikasi yang dipraktikkan oleh seorang ibu turut mempengaruhi pembentukan sikap anak-anak. Ibu yang sentiasa berbicara dengan sopan dan penuh kasih sayang bukan sahaja membentuk komunikasi yang berkesan malah memupuk rasa hormat dalam kalangan anak-anak.
Ibu juga perlu mengajarkan anak-anak tentang kebijaksanaan dalam berempati dan menyelesaikan masalah. Dengan menunjukkan kesabaran dan kemahiran mengatasi sesuatu cabaran, ibu dapat membantu dalam pembentukan keperibadian anak agar mereka menjadi individu yang mampu menghadapi segala situasi dalam hidup dengan cara yang positif.
- Menggalakkan Berdikari:
Ibu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjadi individu yang berdikari dan bertanggungjawab. Proses ini sering kali berlaku secara semulajadi melalui kehidupan harian di rumah, di mana ibu memasukkan nilai-nilai penting ini dalam rutin dan aktiviti seharian anak-anak. Contohnya, melalui aktiviti seperti mengemas bilik sendiri, memasak, menyiapkan meja makan, membuang sampah dan menjemur pakaian, dapat membangunkan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak. Aktiviti ini bukan sahaja membina rasa berdikari tetapi juga mengajarkan kemahiran praktikal yang berguna dalam kehidupan sewaktu dewasa kelak.
Dengan memberikan tanggungjawab harian dan memastikan anak-anak melaksanakannya, ibu secara langsung mengajar dedikasi dan disiplin. Kebiasaan menyelesaikan tugas yang telah diberikan mengajarkan anak-anak untuk memikul tanggungjawab dan melatih mereka untuk menjadi individu yang dapat diharapkan oleh orang sekeliling.
- Sokongan Emosi dan Akademik:
Ibu merupakan individu yang amat penting dalam memberikan sokongan emosi dan akademik kepada anak-anak. Peranan ini sangat kritikal, khususnya dalam membentuk daya tahan mental dan kesediaan anak untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup.
Ibu sering menjadi tempat pertama anak-anak mencari ketenangan dan sokongan emosi. Ketika anak-anak menghadapi tekanan atau cabaran, baik dari segi pelajaran mahupun dalam kehidupan sosial mereka, ibu menadah telinga untuk mendengar dan memberikan nasihat berharga serta dorongan yang diperlukan. Ini membantu mengurangkan rasa cemas dan membina keyakinan diri yang kukuh dalam diri anak-anak.
Melalui sokongan emosi, ibu membantu anak-anak belajar mengatasi kegagalan dan meneruskan usaha dengan lebih gigih. Ibu mengajar anak-anak bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan kejayaan memerlukan ketekunan. Dengan ini, anak-anak belajar untuk menghadapi kegagalan dengan sikap positif dan menganggapnya sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Di samping sokongan emosi, ibu juga terlibat dalam aspek akademik anak-anak. Ibu membantu dalam membuat jadual belajar yang teratur, memastikan anak-anak memahami pelajaran, serta menyediakan bahan bacaan dan alat bantu belajar tambahan. Dengan menyediakan kejelasan dalam rutin belajar, ibu membantu mengurangkan tekanan akademik dan mendorong pencapaian lebih baik dalam pelajaran.
Kesimpulannya, martabat seorang ibu sebagai guru di rumah tidak wajar dinafikan. Sumbangan dan pengorbanan mereka dalam mendidik dan membesarkan anak-anak amat besar nilainya dan layak dihargai sempena Hari Guru. Ibu adalah tulang belakang dalam pembentukan peribadi, intelek, dan spiritual anak, melengkapkan pendidikan formal yang diterima di sekolah. Semoga kita semua sentiasa menghargai jasa mereka setiap hari.
Sempena Hari Guru yang mulia ini, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru di seluruh dunia. Tidak kira di mana anda berada, jasa dan pengorbanan anda tiada bandingan.
Kepada semua guru yang berdedikasi, anda adalah cahaya penerang di jalan ilmu, membimbing anak-anak bangsa menuju masa depan yang gemilang.
Kepada ibu-ibu yang menjadi guru pertama di rumah, terima kasih kerana menjadi teladan yang baik dan menyemai benih-benih kebijaksanaan dan kemuliaan dalam diri anak-anak.
Semoga Allah memberkati segala usaha murni anda, diberikan kekuatan dan kesabaran dalam mendidik generasi muda. Selamat Hari Guru!
بَارَكَ اللَّهُ فِي عُمْرِك
“Semoga Allah memberkati umurmu dan melimpahkan rahmat-Nya.”

Siti Nabilah
Ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah
*Penulis merupakan salah seorang peserta Akademi Muda YADIM 2021.