Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Jualan Tiket KONSURI 2025 bermula esok

Jualan tiket Konvensyen Suri 2025: Persidangan Suri Rumah Kebangsaan (KONSURI 2025) akan dibuka bermula 20 Mei ini, pada jam dua petang menerusi semua platform rasmi Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR). Dua jenis tiket akan dijual iaitu tiket untuk kehadiran secara fizikal dan kehadiran secara dalam talian. Acara ini dianjurkan khusus buat suri rumah, tidak kira sama ada suri rumah sepenuh masa atau separuh masa.

Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2018, Konvensyen Suri Rumah (KONSURI) anjuran SRR menjadi titik mula yang menyatukan suara suri rumah dari pelbagai latar belakang. Seterusnya, pada tahun 2020, meskipun negara dilanda pandemik COVID-19, KONSURI tetap diteruskan secara maya, membuktikan kesungguhan SRR dalam memperjuangkan nilai seorang suri rumah. Setelah itu, KONSURI 2023 yang berlangsung di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur pula menyaksikan impak lebih besar apabila pelbagai tokoh wanita tampil berkongsi ilmu dan pengalaman kepada suri rumah yang hadir dari pelbagai negeri, termasuk pelancaran sebuah buku antologi hasil tulisan ahli SRR sendiri.

KONSURI telah mencipta gelombang perubahan dalam landskap wanita Malaysia, khususnya golongan suri rumah. Bermula dengan matlamat menjadi sistem sokongan buat suri rumah termasuk memberdaya peranan wanita di rumah dan dalam komuniti, KONSURI terus berkembang sebagai platform ilmu, jaringan dan inspirasi yang dinanti-nantikan.

 Kali ini, acara yang diadakan secara dwi tahunan itu akan mengambil tempat di The Everly, Putrajaya pada 14 September 2025, bermula pada jam lapan pagi hingga lima petang. KONSURI 2025 membawakan tema “Memperkasa Pemberdayaan Suri Lestari” dengan barisan ahli panel yang terkemuka iaitu Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Syaari Ab. Rahman dan Dr. Atiyah Azmi.

Lebih menarik, dalam KONSURI 2025 akan berlangsung pembentangan hasil penyelidikan pasukan penyelidik SRR dangan kerjasama Khazanah Research Institute (KRI) menerusi empat segmen iaitu pendidikan, kesihatan, sosial dan ekonomi. Data kajian tersebut juga akan diterjemahkan dalam bentuk penulisan menerusi Buku Panduan Suri Rumah Malaysia yang akan turut dilancarkan pada KONSURI kali ini.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket early bird yang dijual bermula 20 Mei sehingga 30 Mei 2025. Maklumat lanjut tentang KONSURI 2025 boleh didapati menerusi laman web KONSURI 2025 – Konvensyen & Persidangan Suri Rumah Kebangsaan.

Picture of Nur Hafizah Shaharom
Nur Hafizah Shaharom

Ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia