Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) menerusi Unit Jalinan Prihatin (UJP) Suri Membaca, telah menganjurkan satu sesi bermanfaat menerusi Suri Baca Suri Kongsi yang mengupas isu kesihatan mental pada 18 Jun 2025 yang lalu.
Perkongsian tersebut disampaikan oleh Puan Mardziah Shariff, Ahli Jawatankuasa Unit Data dan Penyelidikan SRR, berdasarkan buku Perfectly Imperfect Mom karya Puan Syahirah Omar. Program ini telah disiarkan secara langsung dalam talian dan menarik perhatian hampir 170 penonton.
Puan Mardziah memulakan perkongsian dengan satu pertanyaan ringkas,
“Pernah tak rasa jadi ibu yang ‘tak cukup sempurna’?”
Rata-rata penonton mengakui pernah mengalami perasaan sedemikian, malah ada yang menyifatkan diri mereka sebagai ibu yang gagal.
Menurut beliau, setiap individu memiliki cabaran hidup yang tersendiri. Namun, beliau menekankan bahawa kesihatan mental perlu diberi keutamaan sebelum seseorang mampu memberikan yang terbaik kepada ahli keluarga.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi semasa mengikuti sesi bersama ahli terapi,
“Salah satu cara untuk bertenang adalah dengan menggunakan seluruh pancaindera yang kita miliki. Apa yang mata kita sedang lihat? Apa bau yang ada? Tangan kita sedang sentuh apa? Semua deria yang Allah kurniakan adalah untuk kita gunakan dalam usaha untuk berdamai dengan sebarang keadaan.”
Sesi selama kira-kira satu jam itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SRR untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita, khususnya suri rumah, tentang kepentingan menjaga kesihatan mental. Rakaman penuh perkongsian ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Suri Rumah Rahmah di bawah.

Nur Hafizah Shaharom
Ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia