Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Ucapan Penghargaan kepada AJK SRR Sesi 2024-2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam hormat,

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR) bagi sesi 2024–2025 atas segala komitmen, kesungguhan dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh kepimpinan ini. Tahun 2024–2025 bukan sekadar menjadi satu fasa pentadbiran, tetapi menjadi lembaran bermakna yang membuktikan kekuatan, ketekunan dan kebersamaan kita sebagai sebuah pasukan.

Sepanjang sesi ini, SRR bukan sahaja melaksanakan pelbagai inisiatif, bahkan berjaya menyentuh hati dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai nilai serta kemuliaan peranan seorang suri rumah. Penganjuran Konvensyen Suri: Persidangan Suri Rumah Kebangsan (KONSURI) pada September lalu, menjadi salah satu pencapaian terbesar kita, menghimpunkan ratusan suri rumah dari seluruh negara. Kejayaan ini tidak mungkin terhasil tanpa kerjasama erat dan usaha gigih semua AJK yang telah memastikan setiap perincian berjalan dengan teratur dan penuh profesionalisme.

Pelancaran Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia turut menjadi mercu tanda penting bagi SRR. Penerbitan buku ini bukan sahaja memperkukuh identiti perjuangan kita, malah membuktikan bahawa suara dan keperluan golongan suri rumah semakin mendapat tempat dalam agenda pembangunan masyarakat. Selain itu, pelaksanaan Modul Pembangunan Suri dan modul-modul latihan lain telah memberikan impak positif yang sangat besar, merangkumi aspek kemahiran, kesejahteraan emosi dan keyakinan diri, bukan sahaja untuk ahli SRR tetapi juga untuk para suri rumah di seluruh Malaysia.

Bagi pihak SRR, saya ingin menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan AJK yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah, hadir dalam mesyuarat, menyusun program, mengorbankan masa dan tenaga, serta sentiasa mendukung visi Rahmah yang kita bawa bersama. Sokongan padu kalian, sama ada di hadapan mahupun di belakang tabir merupakan nadi kepada segala kejayaan yang telah kita kecapi.

Yang paling manisnya penutup sesi ini, SRR dianugerahkan sebagai Rakan Strategik berprestasi cemerlang oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), alhamdulillah.

Walaupun kepimpinan boleh bertukar ganti, namun semangat perjuangan ini, insya-Allah, akan terus mekar. Apa yang telah kita bina bersama ialah asas yang kukuh untuk sesi-sesi yang mendatang. Semoga sinar Rahmah yang telah kita nyalakan bersama mampu terus menerangi hati setiap suri rumah di Malaysia, menjadikan mereka sumber kekuatan, kasih dan kesejahteraan untuk keluarga serta negara.

Akhir kata, saya mendoakan agar segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan AJK sesi 2024–2025 diberkati Allah SWT dan menjadi amal jariah yang berterusan. Terima kasih di atas kepercayaan, kesetiaan dan dedikasi kalian.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Picture of Pejabat Presiden
Pejabat Presiden

Sesi 2024-2025
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia