Persatuan
Suri Rumah Rahmah
Malaysia

Selamat Datang AJK SRR Sesi 2026/27

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah, saya Siti Nur Farhana Miskom, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia yang memberikan kepercayaan  dan telah mengundi saya untuk memikul amanah sebagai Presiden SRR bagi sesi 2026/2027. Amanah ini sangat besar maknanya bagi saya untuk membina kekuatan suri rumah di seluruh Malaysia.

SRR telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan insyaAllah untuk sesi baru ini, kita akan bergerak dengan semangat yang lebih tersusun dan berimpak. Fokus utama kepimpinan saya adalah untuk memperkukuh kebajikan dan aktiviti ahli melalui sistem sokongan yang lebih efisien, mudah diakses dan benar-benar membantu setiap suri yang memerlukan. Kita mahu SRR menjadi tempat rujukan, tempat bertenang dan tempat mendapat kekuatan apabila ahli berasa lemah atau memerlukan sokongan.

Pada masa yang sama, kita akan memperkasa modul-modul utama yang telah menjadi tulang belakang pembangunan ahli, terutamanya Modul Pembangunan Suri (MPS) dan Modul Tarbiah Suri Rumah (MTSR) juga memperkemaskan Modul Kepimpinan Suri (MKS). Ketiga-tiga modul ini akan disusun dengan lebih kemas, relevan dan dekat dengan keperluan dunia hari ini agar setiap ahli bukan sahaja mendapat ilmu, tetapi juga keyakinan, kemahiran dan hala tuju yang jelas dalam kehidupan ahli suri itu sendiri.

Selain itu, kepimpinan baharu akan terus memantapkan jaringan strategik yang telah dibina sebelum ini. SRR akan memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi, rakan industri dan komuniti bagi meningkatkan peluang pembangunan, program dan juga sumber dana yang boleh memanfaatkan ahli di seluruh negara. Kita juga akan memberi perhatian kepada aspek digitalisasi dan suara suri melalui media sosial serta platform digital, supaya imej SRR lebih terserlah dan komunikasi bersama ahli menjadi lebih cepat, mesra dan berkesan.

Yang paling penting, sesi ini akan digerakkan dengan semangat “Suri Empower Suri!”. Kita mahu mendekati suri di peringkat akar umbi, memastikan setiap ahli merasai kehadiran SRR dan tidak ada yang tertinggal di belakang. Setiap suri mempunyai potensi tersendiri, dan tugas kami adalah membantu mereka berdiri lebih kukuh dalam kehidupan mereka dan memimpin komuniti setempat seterusnya masyarakat.

Akhir kata, saya memohon doa, sokongan dan kerjasama yang padu dari suri-suri kepada Majlis Tertinggi dan seluruh AJK SRR sesi 2026/2027. Semoga Allah memimpin setiap langkah kita dan menjadikan SRR sebagai medan perubahan yang memberi nilai, harapan dan kekuatan kepada semua suri rumah di Malaysia.

Picture of Siti Nur Farhana Miskom
Siti Nur Farhana Miskom

Presiden Sesi 2026/27
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)

Picture of Rose Jazimah Abdul Jalil
Rose Jazimah Abdul Jalil

Presiden,
Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia